Suasana di Istana Kehakiman dilaporkan penuh emosi selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, meluahkan rasa syukur susulan keputusan mahkamah yang mengekalkan pembebasannya daripada pertuduhan yang dihadapinya.

Syed Saddiq Ucap Terima Kasih Kepada Keluarga Dan Tunang Selepas Dibebaskan Mahkamah

Menerusi sidang media selepas keputusan itu diumumkan, Syed Saddiq mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan kepada individu yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang berdepan tempoh sukar, terutama keluarganya yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan moral serta doa.

Bagaimanapun, perhatian turut tertumpu apabila Syed Saddiq turut menyampaikan ucapan khas buat tunangnya, Bella Astilah, yang hadir memberikan sokongan kepadanya. Menurutnya, perjalanan yang dilalui bukan sesuatu yang mudah, namun tunangnya tetap memilih untuk berada di sisinya ketika berdepan cabaran tersebut.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tunang saya yang ada di sini… yang setia bersama. It’s not easy, ya, kerana sebelum dia bersama dengan saya, saya merupakan ‘pesalah’.

People forget that tetapi dia tetap bersama. Dan alhamdulillah pada hari ini saya tidak menghampakan semangat dan jasanya,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan selepas keputusan mahkamah itu, Syed Saddiq berkata beliau menerima ‘signal positif’ daripada ibu bapanya selepas melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran.

Beliau turut berseloroh mengenai kemungkinan mengadakan sesi siaran langsung bersama pengikutnya pada malam yang sama sekiranya tunangnya mempunyai kelapangan, berikutan ramai yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut.

“Nanti malam ini insya-Allah, kalau tunang saya berkelapangan, bolehlah nanti kita buat sesi live sebab orang nak tanya banyak soalan,” katanya sambil tersenyum.

Dalam masa sama, Syed Saddiq memaklumkan sebarang ulasan lanjut berkaitan kes atau langkah seterusnya akan dibuat di luar kawasan mahkamah sebagai tanda menghormati institusi kehakiman negara.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]