Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terus memiliki kedudukan istimewa dalam dunia Formula 1 (F1) walaupun Malaysia sudah tidak menjadi tuan rumah perlumbaan itu sejak 2017. Reka bentuknya yang mencabar serta reputasinya sebagai antara litar moden terbaik pernah dibina menjadikan Sepang masih dikenang dalam kalangan peminat dan pelumba F1 antarabangsa.

Menariknya, litar ikonik itu turut dikenali dalam kalangan pelumba generasi baharu yang sebahagiannya belum pernah beraksi di Sepang. Bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong Hanifah berkata, ramai pemandu muda sudah mengenali susun atur litar berkenaan sejak kecil menerusi permainan simulasi dan permainan video Formula 1 di PS5.

@flyfm

We got Malaysia’s first & only Formula 1 driver in our studio today! 🏁🇲🇾 Alex Yoong joined Ean, Adam & Rika to talk about F1’s return to Sepang this October, why he’s excited, and what fans can look forward to! #WeFlyest #F1

♬ original sound – Fly FM Malaysia – Fly FM Malaysia

Sepang Kekal Dalam Ingatan Pelumba F1, Alex Yoong Sambut Baik Hasrat Bawa F1 Kembali

Menurutnya, pengalaman berulang kali berlumba di Sepang secara maya membuatkan litar itu kekal dekat dengan generasi baharu dan membuktikan reka bentuknya masih relevan dalam perlumbaan moden.

Mengulas kemungkinan F1 kembali ke Malaysia, Alex menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang positif dan menganggap penganjuran semula perlumbaan berprestij berkenaan akan menjadi perkara yang hebat untuk negara. Bagaimanapun, beliau berpandangan faktor kos perlu diberi perhatian supaya penganjuran tidak menjadi beban kepada pihak terbabit, terutama ketika kos perlumbaan global semakin meningkat.

Alex turut berharap Malaysia tidak perlu menanggung kos penganjuran sepenuhnya kerana keadaan itu akan mewujudkan situasi yang menguntungkan semua pihak.

Dalam pada itu, Alex turut menyentuh prestasi McLaren yang dilihat semakin kompetitif dan berpotensi terus bersaing di kelompok hadapan. Katanya, prestasi pasukan tersebut ketika beraksi di Hungary menunjukkan kekuatan mereka, meskipun setiap litar mempunyai karakter dan cabaran yang berbeza.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Grand Prix F1 dari 1999 hingga 2017 di Sepang sebelum perlumbaan itu dihentikan berikutan peningkatan kos penganjuran serta penurunan jumlah kehadiran penonton. Namun, Sepang terus mempunyai nilai istimewa dalam sejarah F1 dan kekal antara litar yang paling dikenang oleh peminat serta pelumba dunia.

Kredit: TikTok flyfm

 

 

 

[fbcomments]