Seorang lelaki warga Singapura berusia 20-an ditahan polis selepas dipercayai melakukan aksi ‘Superman’ ketika menunggang motosikal Yamaha RXZ di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), semalam.
Lelaki berkenaan ditahan ketika dalam perjalanan menghadiri perhimpunan RXZ Members 8.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.
![]()
Lelaki Singapura Ditahan Lakukan Aksi ‘Superman’ Atas RXZ Di LPT2
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, lelaki itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu kira-kira jam 6 petang.
Menurut beliau, penahanan dilakukan di Kilometer 403 LPT2 selepas anggota mendapati lelaki terbabit menunggang secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Lelaki itu didapati melakukan aksi ‘Superman’ semasa menunggang motosikal dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya.
![]()
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain. Jika disabitkan kesalahan, lelaki berkenaan boleh dikenakan hukuman seperti yang diperuntukkan di bawah akta tersebut.
Dalam pada itu, polis mengingatkan semua pengguna jalan raya, termasuk peserta RXZ Members 8.0, supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan sentiasa mengamalkan pemanduan secara berhemah bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
Kredit: Berita Harian