Jenazah Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang meninggal dunia selepas ditikam dalam insiden pergaduhan di Korea Selatan, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri, Rawang, kira-kira jam 10.10 malam tadi.

Sebelum pengebumian, jenazah dibawa ke Masjid Bandar Tasik Puteri pada jam 8.54 malam untuk disolatkan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 4 petang.

Selepas Tragedi Di Korea Selatan, Jenazah Ahmad Shah Selamat Dikebumikan Di Rawang

Allahyarham dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat tikaman di bahagian perut oleh seorang lelaki yang dipercayai juga warganegara Malaysia dalam kejadian Sabtu lalu. Insiden berlaku ketika Allahyarham cuba membantu rakannya yang diserang sekumpulan lelaki di sebuah jalan di Daeso-eup, Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara.

Serangan itu menyebabkan Allahyarham mengalami pendarahan serius sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran, namun disahkan meninggal dunia. Susulan kejadian, pihak berkuasa Korea Selatan menahan suspek utama serta sekumpulan lelaki warga Malaysia untuk membantu siasatan.

Ibu Allahyarham, Zulfah Fadliani, 47, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menyelesaikan urusan membawa pulang jenazah anaknya sehingga dapat dikebumikan di tanah air pada malam tersebut. Menurutnya, dia dan isteri Allahyarham, Nurcahaya Ruslan, saling memberi sokongan dan kekuatan antara satu sama lain sepanjang berdepan kehilangan itu.

Zulfah turut memaklumkan menantunya dijangka kembali menetap di Malaysia selepas ini. Namun, dia akan ke Korea Selatan terlebih dahulu bagi menguruskan barangan milik menantunya serta Allahyarham untuk dibawa pulang.

Majlis pengebumian berlangsung dalam suasana pilu dengan kehadiran ahli keluarga, sanak saudara dan rakan rapat yang datang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Kredit: Utusan Melayu

[fbcomments]