Tiga beranak ditemukan meninggal dunia dalam sebuah bilik tidur di rumah mereka di Bandar Baru Tambun, Ipoh, malam tadi. Mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 46 tahun bersama dua anak perempuannya yang masing-masing berusia 11 dan 12 tahun.

Tiga Beranak Ditemukan Maut Dalam Bilik Tidur, Sisa Arang Turut Ditemui

Dalam pemeriksaan di lokasi, polis turut menemukan sebuah bekas yang dipercayai mengandungi sisa arang yang telah dibakar di dalam bilik berkenaan. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.10 malam.

Menurut beliau, pemeriksaan awal yang dijalankan pasukan forensik polis bersama pakar patologi forensik mendapati tiada kecederaan atau tanda unsur jenayah pada tubuh ketiga-tiga mangsa.

Katanya, kes berkenaan buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Proses bedah siasat dijadualkan dijalankan hari ini bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Muhammad Najib menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan selagi siasatan masih berjalan.

Beliau berkata, segala maklumat berkaitan kejadian perlu menunggu pengesahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran berita tidak sahih.

Kredit: Buletin TV3

 

[fbcomments]