Siasatan berhubung kehilangan tiga sekeluarga di Bukit Kayu Hitam kini memasuki perkembangan baharu apabila polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM25,000 dipercayai berkaitan urusan hutang kutu melibatkan wanita yang dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu.

Lelaki Dakwa Rugi RM25,000 Akibat Hutang Kutu, Polis Siasat Kemungkinan Kaitan Dengan Kehilangan Tiga Beranak

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, laporan berkenaan dibuat oleh seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa menjadi mangsa dalam urusan tersebut.

Menurut beliau, laporan itu ditujukan terhadap wanita berusia 36 tahun yang sehingga kini masih belum berjaya dikesan bersama suami dan anak mereka.

“Setakat ini, usaha mengesan wanita berkenaan, suaminya yang berusia 39 tahun serta anak mereka berusia sembilan tahun masih diteruskan,” katanya pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan polis sedang menyiasat sama ada kehilangan pasangan suami isteri bersama anak mereka mempunyai kaitan dengan isu hutang.

Kehilangan keluarga itu hanya disedari selepas ahli keluarga gagal menghubungi mereka sejak beberapa hari lalu. Susulan itu, bapa kepada wanita terbabit yang berusia 62 tahun tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas segala usaha untuk mengesan anak perempuan, menantu dan cucunya tidak berhasil.

Kes berkenaan masih dalam siasatan, manakala polis meneruskan usaha mengesan ketiga-tiga individu yang dilaporkan hilang bagi mengenal pasti punca sebenar kehilangan mereka, termasuk kemungkinan wujud kaitan dengan isu hutang yang sedang disiasat.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]