Penemuan sekumpulan kucing dalam keadaan menyedihkan di sebuah struktur menyerupai pondok terapung di Pulau Ketam mencetuskan kebimbangan pencinta haiwan selepas rakaman keadaan haiwan berkenaan tersebar di TikTok.

Kucing-kucing itu ditemukan seorang pemancing, Syafiq Suhaime, ketika berada di kawasan berkenaan sebelum dia merakam dan berkongsi penemuannya di media sosial.

Video di bawah:

https://vt.tiktok.com/ZS4TVnYND/

Dipercayai Ditinggalkan Berbulan-Bulan, Sebabagian Kucing Di Pulau Ketam Berjaya Diselamatkan

Berdasarkan perkongsian tersebut, kebanyakan kucing kelihatan kurus dan kelaparan, malah terdapat haiwan yang menggigit tangan Syafiq ketika dia cuba mendekatinya. Syafiq bagaimanapun tidak dapat membawa keluar kesemua kucing terbabit kerana ketika itu dia hanya seorang diri di atas bot.

Tambahan pula, bot yang digunakannya merupakan bot angin, menyebabkan operasi menyelamat secara bersendirian boleh mengundang risiko keselamatan.

Syafiq menjelaskan dia tidak dapat membantu semua kucing berkenaan pada ketika itu kerana perlu mengutamakan keselamatan diri sebelum mendapatkan bantuan yang bersesuaian.

Keadaan lokasi berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai tempoh kucing-kucing itu berada di situ.

Struktur yang menjadi tempat perlindungan haiwan terbabit dilihat lusuh dan mempunyai lapisan teritip yang tebal, dipercayai menunjukkan ia sudah ditinggalkan untuk tempoh yang agak lama, malah berkemungkinan sehingga beberapa bulan.

Video tersebut kemudian mendapat perhatian orang ramai, khususnya pencinta haiwan, sebelum beberapa individu tampil untuk membantu menjalankan operasi menyelamat.

https://vt.tiktok.com/ZS4TgQqmb/

Menerusi perkembangan yang dikongsikan pengguna TikTok Uyienaaa_, sebanyak 10 ekor kucing berjaya diselamatkan setakat ini dan dibawa keluar dari lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, masih terdapat kira-kira lima hingga lapan ekor kucing yang dipercayai berada di struktur tersebut.

Menurutnya, sebahagian kucing yang masih berada di lokasi juga dikatakan takut untuk didekati, menyebabkan usaha menyelamat perlu dilakukan dengan berhati-hati. Pihak yang terlibat bagaimanapun merancang untuk kembali ke lokasi itu dan membawa keluar baki kucing berkenaan secepat mungkin.

Uyienaaa_ turut menzahirkan penghargaan kepada individu yang sanggup pergi ke lokasi tersebut bagi membantu operasi menyelamat, selain berterima kasih kepada Syafiq kerana berkongsi penemuan berkenaan sehingga keadaan kucing-kucing itu diketahui lebih ramai pihak.

Perkembangan sama turut dikongsikan pengguna Threads, Pherbies, yang memaklumkan bahawa usaha menyelamat masih diteruskan bagi mendapatkan baki kucing yang berada di lokasi.

Bagaimanapun, beberapa ekor kucing dilaporkan sudah mati dan akan dikebumikan, manakala haiwan yang berjaya diselamatkan kini memerlukan perhatian segera kerana kebanyakannya mengalami masalah kekurangan zat makanan.

Dalam hantaran berkenaan, Pherbies menganggarkan sekitar RM6,000 hingga RM7,000 diperlukan untuk menampung kos rawatan perubatan segera bagi kucing-kucing yang telah berjaya diselamatkan.

Usaha kini tertumpu kepada mendapatkan baki kucing yang masih berada di struktur terapung berkenaan, selain memastikan haiwan yang telah dibawa keluar mendapat rawatan dan penjagaan yang diperlukan.

Kredit: TikTok syafiqsuhaime, TikTok Uyienaaa_, Thread Pherbies

[fbcomments]