Lebih 107,000 hektar kawasan hutan dan tanah di seluruh Indonesia terjejas akibat kebakaran setakat awal Ogos, ketika negara itu berdepan musim kering yang semakin mencabar susulan keadaan El Nino yang menguat.
Kebakaran dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan, termasuk wilayah Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan yang dikenal pasti antara lokasi paling kritikal.
![]()
107,000 Hektar Terjejas Kebakaran, Indonesia Tingkat Usaha Elak Jerebu Merebak Ke Malaysia
Krisis kebakaran itu turut melibatkan Taman Negara Bromo Tengger Semeru di Jawa Timur, dengan kawasan terbakar mencecah ratusan hektar. Keadaan kering serta angin kuat menyukarkan usaha pasukan penyelamat mengawal kebakaran di beberapa lokasi.
Keadaan itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan asap kebakaran bergerak merentas sempadan dan menjejaskan negara jiran, khususnya Malaysia dan Singapura.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Djamari Chaniago, bagaimanapun berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada negara lain berhubung gangguan asap akibat kebakaran berkenaan.
![]()
Menurut beliau, usaha menangani kebakaran tidak boleh hanya tertumpu kepada pemadaman api dan perlindungan alam sekitar, sebaliknya turut melibatkan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan keselamatan serta kesihatan awam terus terpelihara. Dalam usaha mempercepatkan operasi, kira-kira 43 helikopter telah dikerahkan untuk membantu pasukan di darat memadam kebakaran di kawasan terjejas.
Kerajaan Indonesia turut merancang untuk menggunakan operasi pengubahsuaian cuaca atau pembenihan awan bagi membantu menghasilkan hujan di kawasan kebakaran. Djamari menyifatkan kaedah berkenaan sebagai antara strategi paling berkesan untuk membantu mengawal kebakaran, namun pelaksanaannya bergantung kepada kewujudan awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan.
Berdasarkan ramalan cuaca yang dinyatakan pihak berkuasa, pembentukan awan yang berpotensi menghasilkan hujan dijangka berlaku dalam tempoh tiga atau empat hari sehingga 18 Ogos, sekali gus memberi peluang kepada operasi pembenihan awan dilaksanakan.
![]()
Sementara itu, keadaan El Nino yang semakin kuat dikatakan meningkatkan risiko berlakunya kebakaran hutan dan tanah ketika Indonesia melalui tempoh kemuncak musim kering. Keadaan kering turut menyebabkan kebakaran lebih mudah merebak dan menyukarkan operasi pemadaman.
Djamari memberi amaran keadaan tersebut berpotensi menyebabkan kebakaran berterusan sehingga sekitar September atau awal Oktober, menjadikan usaha pemadaman dan pemantauan perlu diteruskan bagi mengawal keadaan serta mengurangkan risiko kesan kepada kawasan sekitar.
Kerajaan Indonesia pada masa sama terus meningkatkan operasi di darat dan udara bagi mengawal kebakaran, selain mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan asap daripada kejadian berkenaan memberi kesan kepada negara jiran.
Kredit: Berita Harian