Perselisihan antara dua pemandu yang terbabit dalam pergaduhan di Kilometer 276 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan baru-baru ini berakhir apabila kedua-duanya bersetuju menyelesaikan perkara berkenaan secara baik.
![]()
Pemandu Ferrari, Perodua Aruz Berdamai Selepas Video Pergaduhan Di PLUS Tular
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, perkembangan itu membabitkan seorang pemandu Ferarri berusia 40 tahun dan pemandu Perodua Aruz berusia 35 tahun selepas kejadian kira-kira jam 11 pagi yang kemudiannya menjadi tular di media sosial.
Menurutnya, kedua-dua pemandu berkenaan mengambil inisiatif untuk bertemu dan berbincang mengenai perselisihan yang berlaku. Pertemuan tersebut diadakan atas kehendak mereka sendiri tanpa penglibatan atau campur tangan pihak polis.
Hasil perbincangan berkenaan, kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pertikaian secara baik dan tidak meneruskan perkara tersebut. Mereka turut bersetuju untuk membuat siaran media bersama bagi memberikan penjelasan kepada orang ramai mengenai penyelesaian yang dicapai, susulan rakaman kejadian berkenaan yang tersebar di media sosial.
![]()
Bagaimanapun, Johari menegaskan bahawa persetujuan antara kedua-dua pemandu itu tidak menyebabkan siasatan polis dihentikan.
Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi melengkapkan kes berkenaan dengan meneliti keterangan serta bukti yang diperoleh sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
Dalam perkembangan sama, kedua-dua pemandu telah dibebaskan dengan jaminan polis, dengan masing-masing diberikan jaminan oleh seorang penjamin sementara siasatan diteruskan.
Kredit: Harian Metro