Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 101, dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, 100, menerima tiga pengiktirafan rekod rasmi daripada ASEAN Records dan ASIA Records dalam satu majlis yang berlangsung di Perdana Leadership Foundation, Putrajaya.

Genap 101 Dan 100 Tahun, Tun Dr Mahathir & Tun Dr Siti Hasmah Raih 3 Rekod Rasmi

Menerusi ASEAN Records, Tun Dr Mahathir diiktiraf sebagai Oldest Living Former Prime Minister” atau Bekas Perdana Menteri Tertua Yang Masih Hidup, manakala Tun Dr Siti Hasmah menerima pengiktirafan sebagai Oldest Living Spouse of a Former Prime Minister” iaitu Pasangan Kepada Bekas Perdana Menteri Tertua Yang Masih Hidup.

Sementara itu, rekod ketiga di bawah ASIA Records diberikan kepada pasangan berkenaan sebagai First Former Head of Government and Spouse to Both Become Living Centenarians, yang mengiktiraf mereka sebagai pasangan bekas ketua kerajaan pertama yang kedua-duanya menjadi centenarian ketika masih hidup.

Majlis penyampaian pengiktirafan tersebut turut berlangsung ketika pasangan itu meraikan beberapa detik penting dalam kehidupan mereka. Tun Dr Mahathir menyambut ulang tahun kelahiran ke-101 pada 10 Julai, manakala Tun Dr Siti Hasmah genap 100 tahun pada 12 Julai. Mereka turut meraikan ulang tahun perkahwinan ke-70 pada 5 Ogos.

Menurut pihak penganjur, pasukan adjudikasi telah membuat pengesahan dan mendapati berdasarkan maklumat yang tersedia secara terbuka, belum ada pasangan lain di rantau ASEAN dan pasaran utama Asia yang mencatat pencapaian sama.

Sijil pengiktirafan bagi ketiga-tiga rekod itu disampaikan oleh Tan Sri Datuk Danny Ooi, Pengerusi Lembaga Penasihat ASEAN Records dan ASIA Records. Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Adjudikator Gillian Ooi dan Eldrick Koh bagi pihak proses pengesahan rekod.

Pengiktirafan tersebut diberikan selepas usia Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah masing-masing mencecah 101 dan 100 tahun, selain mereka telah melalui 70 tahun kehidupan berumah tangga.

 

 

[fbcomments]