Seorang rakyat Malaysia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hokkaido, Jepun selepas mengalami masalah jantung ketika transit di Bangkok, Thailand pada 10 Ogos lalu. Allahyarham Hamizi Mohd Noor, yang dilaporkan berusia 50an, sebelum itu dalam perjalanan menyertai trip percutian syarikat ke Hokkaido.

Rakaman ketika kejadian turut tular di media sosial, memaparkan kru kabin cuba memberikan bantuan sebelum Allahyarham dibawa ke Hospital Samitivej Suan Luang, Bangkok dan disahkan meninggal dunia pada 12.26 tengah malam.

Video di bawah:
https://www.facebook.com/share/r/1HpPGgxyNC/

Belum Sempat Tiba Hokkaido, Rakyat Malaysia Meninggal Dunia Ketika Transit Di Bangkok

Menurut perkongsian pengurusan jenazah Islam Mr Wan Cai Official, urusan membawa pulang jenazah dibantu Van Jenazah Wakaf Kulim dan UKVJ Kedah. Seorang rakan Allahyarham, Ziad PG Aid, turut berkongsi perkembangan perjalanan pulang jenazah menerusi ruangan komen.

“Jenazah ini kawan baik saya, nak turun flight (pesawat) transit ke Hokkaido. Alhamdulillah, sekarang baru selesai urusan bawa balik jenazah dari Bangkok ke Kulim, Kedah. Pukul 7 malam dari Thailand bergerak balik naik van. Insya-Allah dijangka di sempadan Dannok pukul 6 pagi hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan seterusnya, Mr Wan Cai Official memaklumkan jenazah telah dituntut dari Hospital Samitivej Suan Luang dan dibawa menuju ke sempadan Bukit Kayu Hitam, dengan urusan dokumentasi, tuntutan jenazah di sempadan, mandi, kafan, solat serta penghantaran ke Kulim disusun bagi melengkapkan proses tersebut.

Jenazah Allahyarham dilaporkan tiba di Malaysia sekitar jam 10 pagi pada Rabu sebelum selamat dikebumikan pada hari sama kira-kira jam 6.30 petang. Lebih menyayat hati, Allahyarham turut dilaporkan mempunyai anak yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Kredit: Facebook Wan Chai Official, Kosmo!

 

[fbcomments]