Baru-baru ini, tular di platform Threads apabila seorang pemandu Grab berkongsi pengalaman tidak disangka selepas mengambil sepasang suami isteri dari sebuah stesen KTM.
Pada awalnya, pemandu berkenaan, Muhammad Amirul Zahari, tidak mengetahui identiti penumpangnya sebelum menyedari bahawa lelaki yang dibawanya itu merupakan Hijjas Kasturi, antara tokoh terkemuka dalam bidang seni bina di Malaysia.
![]()
Pemandu Grab Tak Sangka Penumpang Rupanya Tokoh Arkitek Malaysia, Sikap Rendah Diri Jadi Perhatian
Menerusi hantaran di akaun @muhammadamirulzahari, Amirul berkata pasangan tersebut baru pulang daripada bercuti. Walaupun penampilan mereka dilihat seperti individu berada, kedua-duanya dikatakan sangat rendah diri dan sopan sepanjang perjalanan. Amirul turut menceritakan bagaimana dia terpaksa meletakkan kenderaan agak jauh kerana tidak mendapat tempat untuk parkir, namun pasangan itu tidak merungut dan sebaliknya berjalan ke arah kereta sambil membawa bagasi mereka. Malah, mereka turut beberapa kali memohon maaf atas keadaan tersebut.
Sepanjang perjalanan, Amirul berkata pasangan berkenaan berbual dengannya seperti biasa dengan cara percakapan yang lembut. Setibanya di destinasi, dia sempat bertanya sama ada lokasi tersebut merupakan sebuah resort kerana terkejut melihat kediaman yang begitu besar. Namun, jawapan pasangan itu membuatkannya semakin terkejut apabila mereka memberitahu bahawa kediaman tersebut ialah rumah mereka sendiri.
![]()
Lebih menarik perhatian, selepas tiba di destinasi, Hijjas turut membantu Amirul mengeluarkan bagasi mereka dari kenderaan. Hanya selepas selesai menghantar pasangan itu, Amirul cuba mencari maklumat mengenai penumpangnya di internet dan ketika itulah dia mengetahui bahawa lelaki berkenaan merupakan seorang arkitek yang cukup dikenali serta dihormati di Malaysia.
Amirul kemudian meluahkan rasa bangga kerana berpeluang membawa seorang tokoh yang telah memberikan banyak sumbangan dalam bidang seni bina negara. Beliau turut memohon maaf kerana tidak mengenali Hijjas lebih awal, namun menyifatkan pengalaman tersebut sebagai satu penghormatan kerana dapat bertemu pelanggan yang bukan sahaja mempunyai pencapaian besar, malah tetap menunjukkan sikap baik dan rendah diri.
![]()
Untuk rekod, Hijjas Kasturi dikenali sebagai pelopor dan “Bapa Seni Bina Negara” serta pernah menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk Pingat Presiden daripada Lembaga Arkitek Malaysia pada 2023. Antara karya ikonik yang dikaitkan dengan beliau termasuk Menara Maybank, Menara Telekom (Menara Rebung) dan Kompleks Haji Sepang.
Kredit: Thread muhammadamirulzahari