Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) cedera selepas terkena tembakan ketika menjalani latihan menembak di Lapang Sasar 75 Meter, Menyala, Port Dickson, pada Rabu.
![]()
Anggota TDM Cedera Terkena Tembakan Ketika Latihan, Rakan Direman Tiga Hari
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.15 petang ketika Truper (TPR) Muhammad Akhmal Shahrudin berada di belakang sasaran, manakala seorang lagi anggota sedang menjalani latihan kering sebelum melepaskan tembakan dari jarak 25 meter.
Menurut TDM, anggota yang melepaskan tembakan itu dipercayai tidak menyedari mangsa masih berada di belakang sasaran ketika tembakan dilepaskan.
Akibat kejadian itu, Muhammad Akhmal mengalami kecederaan pada pipi kanan yang menembusi sehingga ke bahagian rahang bawah kiri. Mangsa pada awalnya dikejarkan ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk mendapatkan rawatan awal bagi menghentikan pendarahan sebelum kemudiannya menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.
![]()
Pemeriksaan doktor mendapati tiada kecederaan dalaman dan keadaan mangsa dilaporkan stabil. Mangsa turut ditidurkan bagi menjalani rawatan lanjut.
Sementara itu, anggota tentera yang dipercayai melepaskan tembakan berkenaan telah direman selama tiga hari, bermula 13 hingga 15 Ogos, bagi membantu siasatan. Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff, berkata permohonan reman terhadap suspek berusia 20-an itu dibuat di Mahkamah Majistret Seremban dan dibenarkan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Noor Shazziera Safaruddin.
Menurutnya, keadaan mangsa yang juga berusia 20-an kini stabil, namun tahap sebenar kecederaan masih menunggu laporan rasmi daripada doktor yang merawatnya. Polis turut merampas satu senjata api yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.
![]()
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.
Kejadian itu berlaku ketika anggota terbabit menjalani latihan menembak sebagai persiapan menghadapi pertandingan Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD). TDM memaklumkan pihaknya turut menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti punca dan faktor yang menyebabkan kejadian tersebut, selain siasatan terperinci oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam perkembangan sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, menzahirkan dukacita berhubung kejadian berkenaan serta mendoakan supaya segala urusan mangsa sepanjang proses rawatan dan pemulihan dipermudahkan. TDM turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa serta TDM untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.
Kredit: Harian Metro