Seorang bekas pekerja kilang didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Bayan Lepas selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan rakan sekerjanya dengan mencekik mangsa pada Julai lalu.

Gara-Gara Rakan Sekerja Didakwa Main Telefon, Bekas Pekerja Kilang Cekik Wanita Hingga Didenda RM500

Siti Fadzhlina Bazheer Ahamed, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting pada Khamis. Mahkamah menetapkan hukuman penjara 14 hari sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Siti Fadzhlina didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Anis Fari Syuhail Johari, 30, dengan mencekik bahagian leher wanita itu.

Kesalahan tersebut didakwa berlaku kira-kira 12.30 tengah hari, 26 Julai lalu, di dalam Kilang Abbott Medical Device Sdn Bhd, Hala Kampung Jawa, Bayan Lepas. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam fakta kes, tertuduh bertindak demikian selepas mendapati mangsa didakwa tidak menjalankan tugas dengan baik dan menggunakan telefon bimbit ketika bekerja sehingga menyebabkan urusan di bahagian mereka terganggu. Peguam Yiew De Xian daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman minimum dengan alasan tertuduh telah kehilangan pekerjaan selepas kejadian itu, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sofi Jaafar.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Chia menegaskan tindakan fizikal seperti itu boleh membawa akibat lebih serius dan menasihatkan tertuduh supaya melaporkan masalah berkaitan prestasi rakan sekerja kepada pihak atasan, bukannya mengambil tindakan sendiri dengan mencekik rakan sekerjanya.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]