Disangka sedang tidur ketika lori tangki berhenti di lampu isyarat, seorang pemandu berusia 62 tahun dilaporkan telah meninggal dunia akibat serangan penyakit jantung di hadapan Kilang Lam Research, Kulim, pada Rabu.
![]()
Disangka Tertidur Dalam Lori Tangki, Pemandu Maut Akibat Sakit Jantung
Mangsa, Abdul Haris, dari Melaka, ditemui tidak sedarkan diri selepas lori dipandunya berada di lokasi kira-kira setengah jam. Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 6.46 petang selepas orang awam menyedari mangsa tidak memberikan tindak balas ketika kenderaan berkenaan berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Menurut beliau, lori berkenaan dipercayai sudah berada di lokasi kira-kira 30 minit sebelum seorang pengguna jalan raya menghampiri kenderaan tersebut untuk mengejutkan mangsa. Bagaimanapun, lelaki berkenaan tidak memberikan sebarang tindak balas sehingga menimbulkan sangkaan bahawa dia sedang tidur ketika menunggu lampu isyarat.
![]()
Pegawai perubatan dari Hospital Kulim yang tiba di lokasi bersama ambulans kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Polis turut memaklumkan kejadian kepada anak lelaki mangsa yang kemudian memberitahu bahawa bapanya mempunyai sejarah penyakit kronik, termasuk darah tinggi dan kolesterol.
Pemeriksaan fizikal luaran terhadap mayat yang dijalankan anggota Balai Polis Kulim Hi-Tech mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Bedah siasat kemudiannya mengesahkan punca kematian sebagai Ischaemic Heart Disease Due To Coronary Atherosclerosis, iaitu penyakit jantung yang berpunca daripada saluran darah koronari yang tersumbat.
Kredit: Berita Harian