Kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya semalam mencetuskan perhatian selepas beliau dilihat menyaksikan acara berkenaan dari kawasan berhampiran orang ramai, bukannya di pentas VIP.

Negarawan berusia 101 tahun itu hadir menggunakan kerusi roda elektrik sambil mengibarkan Jalur Gemilang, berdasarkan beberapa gambar yang tular di media sosial.

Jemputan Bekas PM Tidak Lagi Dibuat Secara Automatik Sejak 2018

Situasi berkenaan kemudian menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen mengenai kedudukan Tun Dr Mahathir pada acara rasmi itu, termasuk mengapa beliau tidak berada bersama tetamu kehormat lain sebagai bekas Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 menjelaskan bahawa bekas Perdana Menteri tidak menerima jemputan rasmi ke Sambutan Hari Kebangsaan secara automatik berdasarkan amalan yang telah ditetapkan sejak 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 merangkap Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, berkata urusan jemputan bagi acara rasmi utama Kerajaan Persekutuan dikendalikan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, sejak 2018, bekas Perdana Menteri tidak lagi menerima jemputan ke Sambutan Hari Kebangsaan secara automatik. Bagaimanapun, perkara itu tidak bermakna bekas pemimpin dilarang menghadiri sambutan berkenaan. Kehadiran mereka masih dibenarkan sekiranya dibuat melalui permohonan dan diuruskan mengikut tatacara jemputan rasmi yang ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, Urus Setia memaklumkan Pejabat Perdana Menteri turut menerima permohonan Kemudahan Berehat ke Luar Negara daripada pihak Tun Dr Mahathir bagi tempoh 28 hingga 31 Ogos 2026.

Permohonan berkenaan telah diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaras dengan ketentuan Saraan Bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]