Baru-baru ini, kisah Amirul Fahmi Wan Jusoh, 40, dan anak sulungnya, Rehan Yusuf Amirul Fahmi, 9, yang ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berpelukan selepas terperangkap dalam kebakaran rumah dua tingkat di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus, mengundang sebak orang ramai.

Sempat Pesan Isteri Ambil Cuti, Arwah Suami Maut Bersama Anak Dalam Kebakaran Rumah

Tragedi awal pagi Rabu itu kini meninggalkan isteri Amirul Fahmi, Nur Izzah Ahmad, 36, bersama bayi kedua mereka yang baru berusia tiga bulan untuk meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang.

Lebih memilukan, Nur Izzah mendedahkan arwah suaminya sebenarnya sudah mempunyai perancangan untuk membawa mereka sekeluarga berpindah ke rumah ibunya pada bulan depan selepas dia selesai berpantang.

Beberapa barangan rumah juga sudah dibawa ke kediaman tersebut, malah Amirul Fahmi telah merancang untuk memasang pemanas air dan melakukan beberapa persiapan lain. Namun, rancangan itu terpaksa ditangguhkan kerana Nur Izzah masih menjalani tempoh berpantang di rumah ibunya di Kampung Paloh selepas melahirkan anak kedua mereka, Raees Yusuf, tiga bulan.

Menurut Nur Izzah, arwah sempat bermalam di rumah mentuanya di Kampung Paloh sebelum pulang ke kediaman mereka di Tok Jembal bersama Rehan pada petang Selasa. Pada ketika itu, Amirul Fahmi turut berpesan supaya isterinya mengambil cuti pada Rabu kerana Raees kurang sihat. Pesanan itu akhirnya menjadi antara kata-kata terakhir arwah kepada isterinya, sebelum dia dan Rehan terkorban dalam kebakaran tersebut.

Pasangan yang berkahwin sejak 2021 itu dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Yusuf Ali, 4, dan Raees Yusuf, tiga bulan. Sementara itu, ibu kandung Rehan, Siti Nasuha Mohd, 32, yang bekerja di Kuala Lumpur, berkata anak tunggalnya sempat menghantar pesanan suara kepada ahli keluarga pada malam sebelum kejadian bagi meluahkan rasa sayang.

Siti Nasuha kemudian bergegas pulang bersendirian dari ibu negara dan tiba di Kuala Terengganu kira-kira jam 8 pagi Rabu selepas menerima berita mengenai tragedi itu daripada ibu mentuanya. Jenazah kedua-dua beranak tersebut kemudian disolatkan di Masjid Jamek Tok Jembal sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Jembal.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]