Korea Selatan kini digemparkan dengan penemuan empat mayat individu yang sebelum ini dilaporkan hilang di Pulau Jeju dalam tempoh hanya beberapa hari, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap cara kes kehilangan dikendalikan pihak polis.
Kontroversi menjadi lebih serius selepas siasatan mendapati seorang pegawai polis, dikenali sebagai Bu, dipercayai menutup beberapa kes tanpa menjalankan pengesahan sewajarnya, termasuk kes seorang wanita berusia 37 tahun, Jang Mi-ran.
![]()
Empat Kes Orang Hilang Berakhir Dengan Penemuan Mayat, Pegawai Polis Jeju Didakwa Palsukan Rekod
Kes Jang mula menimbulkan persoalan selepas keluarganya membuat laporan kehilangan pada 15 Mei, susulan wanita itu dilaporkan tidak dapat dikesan. Namun, Bu didakwa memberitahu teman lelaki Jang bahawa dia telah menghubungi wanita berkenaan dan dimaklumkan bahawa Jang berada dalam keadaan selamat serta tidak mahu lokasinya diketahui keluarga.
Semakan kemudian mendapati tiada rekod panggilan antara Bu dan Jang, manakala kes itu dikatakan ditutup tanpa pengesahan sebenar. Keluarga Jang membuat laporan kehilangan sekali lagi pada 19 Julai, sebelum mayat yang dipercayai miliknya ditemukan di sebuah ladang pokok palma di Hallim-eup pada 24 Ogos, kira-kira 104 hari selepas kehilangannya. Lokasi mayat itu pula hanya sekitar 400 meter dari tempat penginapannya.
![]()
Kelewatan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menjadi persoalan apabila 118 rakaman kamera di sekitar kawasan kehilangan Jang telah terpadam selepas tempoh simpanan 30 hari. Polis hanya membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan rakaman tersebut selepas tempoh yang jauh lebih lama, menyebabkan rakaman penting berkaitan pergerakan Jang tidak lagi dapat diperoleh.
Siasatan terhadap Bu turut mendedahkan bahawa satu lagi kes kehilangan melibatkan seorang lelaki berusia 60-andipercayai dikendalikan dengan cara sama. Lelaki berkenaan dilaporkan hilang pada Julai sebelum mayatnya ditemukan pada 22 Ogos. Dalam tempoh kira-kira 17 bulan bertugas di unit orang hilang, Bu dipercayai telah mengendalikan 298 kes, dan polis kini melakukan semakan menyeluruh terhadap kes-kes tersebut bagi mengenal pasti sama ada terdapat kes lain yang ditutup secara tidak wajar.
![]()
Perkembangan itu akhirnya mencetuskan kemarahan awam serta tekanan terhadap pasukan polis Korea Selatan. Presiden Lee Jae Myung mengarahkan siasatan menyeluruh dan menyeru supaya akauntabiliti polis diperkukuhkan, manakala Perdana Menteri Han Seong-sook turut mengarahkan semakan terhadap pengendalian semua kes orang hilang serta penambahbaikan sistem bagi mengelakkan penyiasatan dan penutupan kes dikendalikan tanpa kawalan sewajarnya.
Bu kini berdepan tindakan undang-undang berkaitan dakwaan mengabaikan tugas serta memalsukan dan menggunakan rekod elektronik rasmi. Pemangku Pesuruhjaya Agensi Polis Negara, Yoo Jae-seong, turut tampil memohon maaf berhubung kontroversi berkenaan, sementara beberapa pegawai dalam rantaian pentadbiran Balai Polis Jeju Seobu turut diletakkan dalam keadaan siap siaga sementara siasatan dijalankan.
Kredit: Sinar Harian