Empat individu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), arah Lanchang menghala Kuantan, pada Isnin malam.

Tiga Beranak Antara Empat Maut Dalam Kemalangan 11 Kenderaan Di LPT1

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.44 malam sebelum lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama dua jentera tiba di lokasi kira-kira 40 minit kemudian.

Tiga mangsa maut dalam Proton S70 dikenal pasti sebagai pemandu Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, penumpang Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta seorang kanak-kanak, manakala seorang lelaki dewasa berbangsa Cina maut dalam Honda CRV. Empat lagi mangsa cedera, termasuk dua lelaki yang tersepit dalam lori tangki dan Honda CRV, seorang wanita dalam Toyota Hilux serta seorang lelaki yang mengalami kecederaan ringan dalam Proton Saga.

Kemalangan itu turut membabitkan dua Proton Saga, dua Perodua Myvi, Toyota Alphard, bas ekspres, Proton S70, lori tanker, Honda CRV, Toyota Hilux dan Perodua Aruz, manakala 30 penumpang bas ekspres serta mangsa dalam beberapa kenderaan lain dilaporkan selamat.

Pasukan BBP Temerloh dan BBP Karak turut membantu operasi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas sebelum mangsa yang cedera diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala mereka yang maut diserahkan kepada polis. Operasi dikawal pada jam 2.48 pagi sebelum kerja pembersihan dan pemeriksaan keselamatan dijalankan, dengan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.50 pagi.

Dalam perkembangan sama, rakan kepada tiga mangsa yang maut dalam Proton S70 memaklumkan mereka merupakan pasangan suami isteri bersama anak yang dipercayai dalam perjalanan pulang selepas menghadiri perarakan di Dataran. Berita kehilangan itu dikongsikan menerusi media sosial dan mendapat perhatian selepas rakan mangsa menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu kejutan besar.

Kredit: Sinar Harian, Thread Syazanasyariff

 

[fbcomments]