Baru-baru ini tular sebuah drama bersiri berjudul ‘Madu atau Racun’ yang menjadi perhatian di media sosial selepas beberapa adegannya didakwa keterlaluan dan menyentuh perkara berkaitan sensitiviti agama serta norma budaya masyarakat tempatan.

Drama ‘Madu atau Racun’ Cetus Kontroversi, JPM (Hal Ehwal Agama) Tolak Paparan Unsur Sensitif

Drama yang mula ditayangkan di sebuah platform berbayar sejak 23 Ogos lalu itu mempunyai 12 episod dan menampilkan pelakon seperti Aliff Aziz, Uqasha Senrose serta Elisya Sandha. Paparan yang didakwa menjurus kepada perlakuan songsang itu kemudiannya mengundang pelbagai reaksi, termasuk desakan pengguna media sosial supaya kerajaan menghentikan tayangan drama berkenaan.

Susulan kontroversi tersebut, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan penayangan kandungan berkenaan, terutama sekiranya ia mengandungi elemen yang boleh menimbulkan keresahan serta menyentuh sensitiviti agama dan nilai masyarakat.

Menterinya, Dr Zulkifli Hasan, berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana kandungan yang mengetengahkan unsur bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya ketimuran dikhuatiri memberi kesan terhadap pegangan agama serta pembentukan nilai moral masyarakat, khususnya golongan muda.

Menurut beliau, prinsip Islam turut menitikberatkan pemeliharaan institusi kekeluargaan dan adab dalam kehidupan beragama, justeru paparan gaya hidup yang dianggap bertentangan dengan nilai tersebut tidak seharusnya dinormalisasikan melalui kandungan hiburan.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meneliti kandungan drama tersebut serta menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.

Zulkifli berkata, sebarang tindakan akan dibuat berdasarkan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam selain mengambil kira peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan kandungan media yang disiarkan mematuhi ketetapan dan tidak menjejaskan kesucian agama.

Beliau pada masa sama mengingatkan penggiat seni, penerbit dan pihak penyiaran supaya lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan kandungan yang mengambil kira sensitiviti masyarakat serta menjadikan garis panduan rasmi sebagai rujukan.

Katanya, industri seni dan platform media sewajarnya digunakan untuk menyampaikan mesej yang memberi manfaat, membentuk sahsiah serta menyemai nilai positif, bukannya menghasilkan kandungan yang akhirnya mencetuskan polemik dan menjejaskan keharmonian norma masyarakat.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]