Isteri kepada Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe, meluahkan kerinduan terhadap suaminya yang masih belum ditemukan selepas dilaporkan hilang dalam kejadian banjir besar di Nepal.

Hani Othman berkongsi luahan itu pada 3 September, yang sepatutnya menjadi tarikh ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10 selepas pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 3 September 2016.

“Tolonglah Abang, Where Are You?” – Isteri Loe Kenang Ulang Tahun Perkahwinan Ke-10 Ketika Suami Masih Hilang Di Nepal

Menerusi hantaran di Facebook, Hani turut mengingatkan Loe bahawa dia sepatutnya pulang pada hari tersebut selain membawa hadiah ulang tahun yang telah dijanjikan.

“Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-10. 3.9.2016 hingga 3.9.2026. Abang patut balik hari ini. Abang dah janji nak bawa balik hadiah anniversary (ulang tahun). Nervous (berdebar-debar) laaaa hadiah apa abang nak bagi tahun ini,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Hani turut berkongsi beberapa rancangan yang telah mereka susun bersama, termasuk menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) TVET pada 6 September ini.

Pasangan itu juga dijadualkan melengkapkan kursus divemaster di Pulau Tioman pada Oktober sebelum merancang pendakian ke Gunung Rinjani pada Mei tahun depan. Mereka turut merancang untuk mendaki Gunung Kilimanjaro pada Ogos tahun depan.

Hani turut menyentuh mengenai impian Loe untuk menawan puncak Gunung Everest yang masih belum tercapai. Katanya, dia sebelum ini telah berjanji untuk menjalani latihan bersama dan menemani suaminya sehingga ke puncak gunung berkenaan.

“Sayang dah cakap dengan abang kan kita akan training sama-sama dan sayang akan teman abang kali ini sampai ke puncak Everest. Impian abang nak ke puncak Everest tak settle (selesai) lagi ni tau. Tolonglah abang… ‘where are you’? (di mana awak?),” katanya.

Loe dilaporkan antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi selepas bencana banjir melanda Nepal ketika beliau menyertai ekspedisi di kawasan berkenaan. Kumpulan yang disertainya dipercayai berada di sebuah lembah ketika kejadian berlaku, manakala Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Sani Harul, turut dilaporkan hilang dalam ekspedisi sama.

Sebelum ini, Hani berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai usaha mencari suaminya dan anggota kumpulan berkenaan. Beliau memilih untuk berada lebih dekat dengan operasi pencarian berbanding hanya menunggu perkembangan dari Malaysia.

Rakan serta kenalan Loe di Nepal turut membantu usaha mengesan kumpulan berkenaan, manakala kehadiran Hani di negara itu telah dimaklumkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

Hani sebelum ini turut meluahkan harapan agar tiada seorang pun daripada mayat yang ditemukan selepas bencana tersebut merupakan suaminya atau anggota kumpulan yang masih hilang.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]