Secangkir Cafe akan menamatkan operasi selepas keluarga Allahyarham Sofiya memutuskan untuk tidak meneruskan perniagaan berkenaan susulan pemergian tragis pemiliknya bersama suami dan anak dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), 31 Ogos lalu.
![]()
Legasi Secangkir Cafe Berakhir Hari Ini, Kopi Dan Kek Dijual Buat Kali Terakhir
Allahyarham Sofiya, 32, suaminya, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, serta anak lelaki mereka berusia empat tahun maut dalam kemalangan di Kilometer 110.4 LPT1 arah timur berhampiran Lanchang, Temerloh, kira-kira jam 10.55 malam. Tiga beranak itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya.
Keputusan menamatkan operasi itu dimaklumkan abang Allahyarham Sofiya menerusi satu kenyataan yang dikongsikan kepada umum. Menurutnya, keputusan tersebut bukan mudah, namun keluarga menganggap ia sebagai langkah terbaik selepas kehilangan Allahyarham Sofiya yang menjadi sebahagian daripada perjalanan Cafe Secangkir. Beliau turut menjelaskan keluarga tidak mempunyai kepakaran untuk menghasilkan semula kek yang dibuat Allahyarham kerana setiap kek mempunyai keunikan dan kelainan tersendiri pada setiap minggu.
![]()
Sehubungan itu, Cafe Secangkir akan dibuka buat kali terakhir hari ini, Jumaat, 4 September, dari jam 3 petang hingga 9 malam sahaja. Untuk jualan terakhir berkenaan, hanya kopi dan kek akan disediakan dengan jumlah yang terhad. Pelanggan pula hanya dibenarkan membeli satu keping kek seorang, manakala bekalan kopi dihadkan kepada 300 cawan sahaja.
Selain jualan terakhir, keluarga Allahyarham turut memaklumkan bahawa segala stok dan perkakasan kedai akan dilelong. Gambar barangan yang masih tersedia akan dikongsikan kepada orang ramai pada hari jualan terakhir. Menurut abang Allahyarham Sofiya, hasil jualan itu, insya-Allah, akan digunakan untuk menyelesaikan sekiranya masih terdapat hutang atau perkara tertunggak yang ditinggalkan Allahyarham.
![]()
Keluarga turut mengakui keputusan untuk menamatkan operasi Cafe Secangkir amat berat, namun mereka percaya ia merupakan pilihan terbaik selepas pemergian Allahyarham Sofiya. Mereka juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang pernah memberikan sokongan kepada Cafe Secangkir sejak awal penubuhannya.
Dalam kenyataan sama, keluarga memohon orang ramai membantu menyebarkan maklumat mengenai jualan terakhir tersebut, selain memohon maaf atas keputusan untuk menamatkan operasi Cafe Secangkir.
Kredit: Thread iqiekazama