Permukaan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) yang dipenuhi buih putih sehingga kelihatan seakan-akan salji mencuri perhatian pengguna jalan raya semalam, sebelum keadaan itu dikenal pasti berpunca daripada sisa tumpahan sabun.
![]()
KESAS Disangka ‘Bersalji’, Rupanya Sisa Muatan Sabun Dari Lori
Buih tersebut muncul di laluan dari Kilometer (KM) 30 hingga KM30.5 arah Klang ke Kuala Lumpur, membabitkan jarak kira-kira 500 meter. Keadaan berkenaan dikesan sekitar jam 3.10 petang selepas beberapa rakaman video yang memaparkan permukaan lebuh raya dipenuhi buih tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, hasil siasatan mendapati sisa sabun berkenaan dipercayai berasal daripada muatan sebuah lori yang terjatuh pada 24 Ogos lalu.
Menurutnya, tumpahan berlaku di susur Kota Kemuning sebelum lori terbabit memasuki Lebuhraya KESAS menghala ke Klang. Ketika kejadian, pihak bomba telah mengambil tindakan dengan menabur serbuk kayu di sepanjang kawasan yang terjejas akibat sisa sabun tersebut.
![]()
Bagaimanapun, hujan lebat yang berlaku semalam menyebabkan sisa tumpahan berkenaan kembali mengeluarkan buih sehingga meliputi laluan kira-kira 500 meter.
“Berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berpunca daripada sisa muatan yang jatuh dari lori yang membawa muatan sabun. Siasatan mendapati berlaku tumpahan sisa sabun pada 24 Ogos lalu di susur Kota Kemuning untuk masuk ke Lebuhraya KESAS arah Klang,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Lebuhraya KESAS berhampiran susur Hicom turut dilaporkan mengalami kesesakan susulan tumpahan cecair di KM30.5 arah timur yang menyebabkan permukaan jalan menjadi licin dan berbuih. Keadaan permukaan jalan yang dilitupi cecair berwarna putih itu kemudiannya mencetuskan perhatian pengguna lebuh raya kerana rupanya seakan-akan kawasan yang dilanda salji.
![]()
Susulan kemunculan semula buih tersebut, pihak konsesi lebuh raya mengambil inisiatif menjalankan kerja-kerja pembersihan buat kali kedua bagi membersihkan sisa tumpahan di kawasan terbabit.
Sarudin berkata, kerja-kerja pembersihan itu telah selesai kira-kira jam 4.58 petang.
Kredit: Berita Harian