Usaha pasukan penyelamat untuk membantu seekor orang utan jantan yang ditemui dalam keadaan kritikal di Ketapang, Kalimantan Barat, Indonesia, tidak berjaya apabila haiwan berkenaan akhirnya disahkan mati selepas menerima rawatan.
![]()
Pendedahan Asap Kebakaran Di Kalimantan Disyaki Jejas Paru-Paru Orang Utan Sempurna
Orang utan yang dikenali sebagai Sempurna itu ditemui penduduk sekitar jam 7 pagi pada 30 Ogos lalu berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Dusun Sempurna. Ketika ditemukan, Sempurna berada dalam keadaan lemah dan mengalami gangguan pernafasan yang dipercayai berpunca daripada pendedahan kepada asap kebakaran hutan.
Susulan laporan diterima, pasukan Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Kalimantan Barat (BKSDA) segera ke lokasi untuk menjalankan usaha menyelamat. Sempurna diberikan rawatan kecemasan sebelum dibawa ke pusat pemulihan Yayasan International Animal Rescue Indonesia (YIARI) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, keadaan kesihatan Sempurna terus merosot sebelum haiwan itu akhirnya disahkan mati. Hasil bedah siasat yang dijalankan pada Isnin mendapati beberapa organ, khususnya paru-paru, jantung dan buah pinggang, mengalami perubahan akibat penyakit.
![]()
Berdasarkan keadaan kesihatan Sempurna sebelum ini serta hasil pemeriksaan, masalah pada paru-parunya dipercayai mempunyai kaitan dengan pendedahan kepada asap. Keadaan itu boleh menjejaskan fungsi paru-paru dan menyebabkan hipoksia akut, iaitu keadaan apabila tubuh mengalami kekurangan oksigen.
Pengarah BKSDA Kalimantan Barat, Murlan Dameria Pane, meluahkan rasa kesal kerana Sempurna tidak dapat diselamatkan meskipun pelbagai usaha telah dilakukan.
“Kami amat kesal Sempurna tidak dapat diselamatkan. Sejak menerima laporan daripada orang ramai, pasukan BKSDA Kalimantan Barat bersama YIARI segera menjalankan operasi menyelamat dan memberikan rawatan perubatan berdasarkan keadaan haiwan itu,” katanya.
Kredit: Sarawak Tribune