Selepas 37 hari berada dalam keadaan tidak dapat dihubungi, seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan hilang di Nepal susulan bencana banjir dan tanah runtuh akhirnya ditemukan selamat.
Lelaki berbangsa Cina yang melakukan perjalanan secara bersendirian itu dilaporkan hadir ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober sebelum pulang ke tanah air pada pagi ini dan kini sudah bersama keluarganya.
![]()
Seorang Daripada 55 Rakyat Malaysia Hilang Di Nepal Ditemui Selamat Selepas 37 Hari
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr R. Manivannan berkata, lelaki berkenaan merupakan satu-satunya pengembara solo yang disahkan selamat daripada senarai asal 55 rakyat Malaysia. Menurutnya, penemuan tersebut memberi kelegaan besar kepada pihak MASFIH dan keluarga selepas lebih sebulan menunggu perkembangan mengenai keberadaan mangsa.
Berdasarkan maklumat daripada waris, lelaki terbabit kali terakhir diketahui berada di Nagthali Viewpoint pada jam 3.26 petang, 25 Ogos, sehari sebelum banjir dan tanah runtuh berlaku. Kawasan tanah tinggi itu terletak jauh lebih tinggi berbanding Rasuwagadhi.
Manivannan berkata, lelaki berkenaan dipercayai terkandas untuk suatu tempoh akibat kemusnahan jalan dan jambatan yang berlaku susulan bencana. Keadaan itu turut menyebabkan bekalan elektrik dan air terputus, selain ketiadaan akses internet yang menyukarkan pergerakan serta komunikasi dengan keluarga.
![]()
Menurutnya, perkembangan tersebut menunjukkan seseorang boleh berada dalam keadaan selamat walaupun tidak dapat berhubung dengan keluarga untuk tempoh yang panjang apabila kemudahan asas, laluan perjalanan dan sistem komunikasi terjejas akibat bencana.
Sementara itu, Manivannan berkata, baki 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi bukan terdiri daripada pelancong yang bergerak secara bersendirian. Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan dan disemak bersama keluarga, mereka melakukan perjalanan secara berkumpulan dalam beberapa kumpulan berasingan.
Pecahan kumpulan berkenaan terdiri daripada 23 orang, 17 orang, sembilan orang, tiga orang dan dua orang yang bergerak bersama kumpulan pelancong daripada kewarganegaraan lain.
Dari segi latar belakang etnik, 54 rakyat Malaysia berkenaan terdiri daripada 42 individu berbangsa India, 11 Melayu dan seorang Cina.
Kredit: Kosmo!