Di sebalik hadiah sebuah kereta kepada adiknya, pelakon Azhan Rani sebenarnya mahu menghargai pengorbanan Sahrul Nizam Abdul Rani, 47, yang banyak meluangkan masa menjaga ibu mereka, Salmah Budin.

Azhan menyifatkan adiknya yang mesra dipanggil Ijam itu sebagai ‘unsung hero’ keluarga kerana banyak menjaga ibu secara dekat, termasuk tinggal bersama ibunya, sedangkan adik-beradik lain mempunyai komitmen keluarga masing-masing dan tinggal lebih jauh.

Azhan Rani Hadiahkan Kereta Buat Adik, Hargai Pengorbanan Jaga Ibu

Menurut Azhan, hasrat menghadiahkan kereta kepada adiknya sudah lama disimpan sejak arwah bapanya masih ada. Bagaimanapun, keadaan kewangan ketika itu menyebabkan dia belum mampu merealisasikan niat tersebut sebelum mula mengumpul wang sedikit demi sedikit selama beberapa tahun. Hasrat itu akhirnya tercapai selepas dia mempunyai kemampuan untuk membeli kenderaan berkenaan.

Azhan berkata, idea tersebut semakin kuat selepas melihat Ijam menunjukkan minat terhadap sebuah kenderaan ketika mereka mengunjungi bilik pameran kereta. Adiknya banyak bertanya kepada jurujual mengenai kenderaan terbabit, namun terus berdiam diri selepas mengetahui harganya. Azhan yang mengetahui minat tersebut memilih untuk tidak memberitahu apa-apa dan hanya menunggu sehingga wang yang dikumpulkan mencukupi.

“Saya pernah tanya sama ada dia suka kereta itu dan dia mengaku memang suka. Jadi, saya buat-buat diam sahaja sehingga duit cukup. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat hadiahkan kepadanya,” katanya.

Pemilihan kenderaan itu juga dibuat dengan mengambil kira keperluan keluarga, khususnya untuk memudahkan mereka membawa ibu ke mana-mana. Azhan berkata, kereta tersebut mempunyai ruang yang lebih sesuai untuk meletakkan kerusi roda, sekali gus memberikan keselesaan kepada ibunya.

Azhan mengakui hubungan dengan adiknya ketika zaman kanak-kanak tidak begitu rapat dan mereka sering bertengkar. Namun, hubungan mereka berubah apabila masing-masing semakin dewasa. Menurutnya, individu yang dahulu sering bercanggah dengannya itu akhirnya menjadi antara orang yang paling banyak berjasa kepada keluarga.

Beliau berkata, masyarakat mungkin lebih mudah melihat pengorbanannya terhadap ibu kerana dirinya dikenali sebagai seorang pelakon, sedangkan banyak perkara yang dilakukan Ijam tidak diketahui umum. Adik-beradik mereka yang lain juga banyak membantu, namun masing-masing mempunyai keluarga serta komitmen sendiri dan tidak tinggal berdekatan dengan ibu.

“Saya tahu siapa sebenarnya yang lebih layak menerima penghargaan dan kredit. Orang itu ialah adik saya. Kalau saya mampu, saya mahu beri kepada semua adik-beradik. Tetapi kita buat satu demi satu, insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Azhan menjelaskan pemberian kereta tersebut bukan sesuatu yang dirancang untuk ditonjolkan kepada umum. Sebaliknya, perkongsian video di Threads itu dibuat kerana dia mahu mengabadikan detik berkenaan sebagai satu kenangan bersama adiknya. Dia turut berharap perkongsian tersebut dapat memberi inspirasi kepada orang lain supaya lebih menghargai hubungan sesama adik-beradik dan keluarga, selain menegaskan bahawa tiada niat untuk menunjuk-nunjuk dengan pemberian berkenaan.

Difahamkan, Azhan menghadiahkan sebuah Jetour Dashing Black Worrior edisi istimewa kepada Ijam sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-69. Video ketika pemberian kenderaan itu dibuat sebelum ini tular di Threads dan mendapat perhatian pengguna media sosial.

Kredut: Utusan Malaysia

[fbcomments]