Bapa kepada Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan parah di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, bertekad memastikan anak tunggalnya itu mendapat pembelaan sewajarnya.
Mohd Khairool Faisal, 42, berkata dia hanya mengetahui mengenai kejadian yang menimpa Irene atau lebih mesra dipanggil Fiya sekitar jam 6 petang semalam selepas menerima panggilan daripada kakaknya, Siti Nur Faeza Khyar, 45.
![]()
Bapa Irene Sofiya Nekad Tuntut Keadilan, Rakan Sekelas Direman Enam Hari
Menurutnya, kakaknya memaklumkan Fiya telah ditemukan dalam keadaan parah sebelum disahkan meninggal dunia. Ketika menerima berita tersebut, dia sedang bekerja di Bangi sebelum segera bergegas pulang ke kampung untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan anaknya.
Mohd Khairool berkata, dia akan bersama ahli keluarga memastikan Fiya mendapat pembelaan sewajarnya dan meminta sokongan orang ramai agar perjuangan mendapatkan keadilan buat anaknya dapat diteruskan. Katanya, kali terakhir dia bertemu Fiya adalah kira-kira dua minggu lalu dan ketika itu anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah kelihatan ceria serta seronok belajar.
![]()
Dia turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir memberikan sokongan kepada keluarganya sejak berita mengenai kejadian itu diketahui, selain membantu melancarkan segala urusan Fiya dari awal sehingga selesai.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas Fiya direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kematiannya.
![]()
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata suspek ditahan sekitar jam 7 malam semalam di kawasan Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 5.50 petang.
“Kami harap pelakunya mendapat hukuman sewajarnya. Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya ditemui selepas pengebumian Irene Sofiya.
Kredit: Berita Harian