Baru-baru ini, tular sebuah video di platform Threads yang memaparkan seorang lelaki mengambil seekor hamster dari sebuah kedai haiwan di Pasir Gudang, Johor.

Hamster Dicuri Dipulangkan Semula, Pemilik Kedai Tetap Akan Buat Laporan Polis

Lebih mencuri perhatian, lelaki terbabit dilihat datang bersama isteri dan dua anaknya, malah perbuatan itu disaksikan oleh keluarganya sebelum mereka beredar meninggalkan premis berkenaan.

Dalam perkembangan terbaharu, lelaki tersebut menghubungi pemilik kedai menerusi WhatsApp dan memaklumkan bahawa dia akan memulangkan semula hamster berkenaan. Dia turut meminta pemilik kedai memadamkan video asal yang dimuat naik di Threads.

Menerusi penjelasannya, lelaki itu mendakwa dia pada awalnya sudah bertanya kepada seorang staf mengenai hamster berkenaan kerana mahu membelinya, namun pertanyaannya tidak dilayan. Dia kemudian mengambil hamster tersebut, namun mengakui bahawa tindakannya itu tetap salah.

Pemilik kedai kemudiannya mengajak lelaki berkenaan datang berjumpa pada hari ini untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan cara baik. Bagaimanapun, menurut pemilik kedai, seorang individu memang hadir ke kedai seperti yang dijanjikan, tetapi tidak menghampiri atau bercakap dengan mana-mana pekerja.

Sebaliknya, individu itu terus menuju ke sangkar, memasukkan semula hamster yang diambil sebelum ini dan kemudian meninggalkan premis berkenaan tanpa bersemuka atau meminta maaf kepada pihak kedai.

Tindakan tersebut mengecewakan pemilik kedai yang berharap lelaki terbabit tampil sendiri untuk memberikan penjelasan dan menyelesaikan perkara berkenaan dengan lebih baik.

Pemilik kedai turut memaklumkan bahawa laporan polis akan dibuat susulan kejadian tersebut.

Kredit: Thread muhammadnuraiman95

[fbcomments]