Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, telah diheret dari surau ke dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor, sebelum ditemukan tidak bernyawa baru-baru ini.

Fadhlina Nafi Irene Sofiya Diseret Dari Surau, CCTV Tiada Di Lokasi Kejadian

Menurut Fadhlina, dakwaan berkenaan adalah tidak benar, termasuk dakwaan kononnya berlaku kerosakan pada surau sekolah tersebut. Beliau meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana kes berkenaan masih dalam siasatan dan membabitkan murid bawah umur.

“Dakwaan mengatakan mangsa diseret dari surau ke dewan tempat kejadian serta dakwaan cermin pecah di surau, semuanya tidak benar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina mengesahkan sekolah berkenaan mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), namun kemudahan itu tidak dipasang di kawasan tempat kejadian. Susulan perkara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah segera untuk memperkemas sistem pemantauan keselamatan di sekolah terbabit.

KPM turut akan memastikan CCTV yang mengalami kerosakan dibaiki dan boleh digunakan. Fadhlina berkata, sekolah yang mempunyai kemudahan CCTV tetapi berdepan masalah peralatan tidak berfungsi perlu memaklumkan perkara itu kepada kementerian supaya penambahbaikan dapat dilakukan.

Kes kematian Irene Sofiya turut mendorong KPM mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap aspek pengurusan serta keselamatan sekolah berkenaan. Pemeriksaan itu merangkumi kawalan keluar masuk sekolah, rondaan keselamatan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), keadaan dan fungsi CCTV serta pelaksanaan tugas syarikat kawalan keselamatan pada hari kejadian.

Sekiranya pemeriksaan mendapati syarikat kawalan keselamatan terbabit melanggar syarat kontrak atau berlaku kecuaian dalam menjalankan tanggungjawab, tindakan sewajarnya boleh dikenakan. Antara tindakan yang boleh diambil termasuk pengeluaran notis ketidakpatuhan, tindakan kewangan dan penamatan kontrak.

Sebelum ini, Irene Sofiya ditemukan tidak bernyawa di sebuah dewan di sekolah berkenaan pada Sabtu lalu. Kes tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa, manakala KPM turut mengambil langkah untuk meneliti aspek keselamatan sekolah susulan kejadian berkenaan.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]