Akibat dipercayai cuba mencuri kabel elektrik, seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik di tepi Jalan Acob, Kapar, Klang pada Ahad.
![]()
Cuba Curi Kabel Elektrik, Lelaki Maut Terkena Renjatan Di Kapar
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sekitar jam 10 pagi berhubung penemuan mayat seorang lelaki di lokasi kejadian.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai terkena renjatan ketika melakukan kegiatan mencuri kabel, manakala tangannya dilaporkan masih memegang kabel berkenaan ketika ditemukan.
Polis turut menemukan beberapa barangan di lokasi yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan tersebut, termasuk peralatan memotong kabel, mangga dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan mangsa.
![]()
Mangsa kemudian dikenal pasti oleh waris sebagai lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an yang berasal dari Kapar, Klang. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk bedah siasat pada 5 Oktober.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Mejar Azhar di talian 012-349 5921 bagi membantu siasatan.
Kredit: Sinar Harian