Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama bapanya terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
![]()
Rempuhan BYD Seal Cetus Kemalangan Enam Kenderaan, Kanak-Kanak Maut
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.44 petang itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala ketika berada di tempat duduk penumpang belakang sebuah Perodua Bezza. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika trafik bergerak perlahan dari pusat bandar menghala ke Segambut.
Menurutnya, Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai dirempuh dari belakang oleh sebuah BYD Seal. Pelanggaran berkenaan turut membabitkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga lagi kenderaan, iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.
![]()
Dalam kejadian itu, pemandu Perodua Bezza mengalami kecederaan pada tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala. Kedua-duanya menerima rawatan di HKL. Sementara itu, pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, pemandu Toyota Alphard berusia 37 tahun dan pemilik Perodua Myvi, wanita berusia 30 tahun, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mohd Zamzuri turut memaklumkan bahawa pemandu BYD Seal berusia 24 tahun yang meninggalkan lokasi selepas kejadian berjaya dikesan oleh pihak polis. Lelaki itu kini dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara akibat kecederaan gegaran otak dan masih berada di bawah pemantauan pegawai penyiasat.
![]()
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, identiti individu yang dipercayai memandu BYD Seal berkenaan turut difahamkan tersebar di media sosial susulan kemalangan yang mengorbankan nyawa kanak-kanak tersebut.
Kredit: Sinar Harian, Thread