Pelakon drama Gerak Khas 2.0, Tisha Shamshir, 40, tampil memohon maaf kepada penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, susulan kontroversi kes dadah yang sedang dihadapinya di mahkamah.

Tisha atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam mengakui perkara tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepada reputasi Datuk Yusof selaku majikannya. Dia turut menyampaikan permohonan maaf kepada ahli keluarga serta mengakui sedang melalui ujian berat yang cuba diterima dengan hati terbuka.

Tisha Shamshir Mohon Maaf Kepada Yusof Haslam, Akui Kontroversi Jejas Kerjaya

Tisha berkata demikian selepas menghadiri prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam. Dalam masa sama, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan kerana mahu meneruskan kehidupan seperti biasa. Dia turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru menghukum seseorang atas kesilapan yang dilakukan, sambil mengakui kontroversi tersebut turut menjejaskan perjalanan kerjaya profesionalnya. Mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes.

Untuk rekod, Tisha ditahan bersama beberapa individu lain di sebuah bilik VIP di pusat hiburan di ibu negara pada 7 Julai lalu. Penahanan itu dilakukan menerusi Op Noda oleh Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sekitar jam 3.15 pagi. Ujian saringan yang dijalankan mendapati Tisha positif methamphetamine.

Pada 10 Julai lalu, Tisha mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ainna Maryam Norazman, mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia, manakala peguam bela Tisha, Nik Azhar Nik Adib, memohon supaya jumlah itu dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan Tisha diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin. Tisha tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekitar jam 8.10 pagi semalam dengan diiringi tiga pengawal peribadi.

Kredit: Kosmo!

 

 

[fbcomments]