Lebih 300 pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan, dipercayai menjadi mangsa penyuntingan gambar bogel menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Lebih membimbangkan, gambar yang dimanipulasi itu didakwa tersebar dalam kalangan pelajar dan turut dijual menerusi aplikasi Telegram.

Lebih 300 Pelajar Perempuan Didakwa Jadi Mangsa Gambar Bogel Palsu AI, Ada Yang Dijual Di Telegram

Menurut peguam Ng Kian Nam, kes berkenaan mula terbongkar pada 12 Ogos lalu apabila seorang pelajar tingkatan dua menemui sebuah telefon pintar tanpa kata laluan di dalam surau sekolah. Selepas memeriksa telefon berkenaan, pelajar itu menemukan gambar lucah yang menggunakan wajah pelajar perempuan dari sekolah tersebut dan disunting dengan AI sehingga kelihatan seolah-olah mereka tidak berpakaian.

Ng berkata, pelajar berkenaan kemudian menghantar gambar tersebut ke akaun Instagram kakaknya yang berusia 17 tahun. Telefon pintar itu kemudiannya diletakkan semula di tempat asal sebelum ditemukan oleh guru disiplin sekolah. Hasil pemeriksaan mendapati telefon tersebut dipercayai milik seorang pelajar tingkatan lima di sekolah berkenaan.

Susulan penemuan itu, lima laporan polis dibuat pada 20 Ogos lalu, termasuk oleh ibu bapa pelajar yang menemukan telefon berkenaan. Ng memaklumkan bahawa satu perbincangan turut diadakan antara ibu bapa dengan Lembaga Pengurus Sekolah (LPS), sebelum mereka bersetuju untuk menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).

Pada 15 September lalu, satu lagi pertemuan melibatkan ibu bapa, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), LPS, pihak sekolah serta pegawai Jabatan Pendidikan Negeri telah diadakan. Dalam pertemuan tersebut, pihak sekolah mengesahkan terdapat lebih 300 pelajar yang menjadi mangsa kes penyuntingan gambar bogel menggunakan AI itu.

Pelajar lelaki yang dipercayai memiliki telefon pintar berkenaan dilaporkan telah digantung sekolah. Pihak sekolah juga dikatakan telah mengambil tindakan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh jabatan berkaitan.

Bagaimanapun, Ng mendakwa ibu bapa tidak diberikan maklumat mengenai status gambar anak-anak mereka dan tidak dimaklumkan secara jelas tentang kejadian sebenar. Malah, ibu bapa kepada dua pelajar yang menemukan telefon itu turut meluahkan rasa tidak puas hati selepas anak-anak mereka diminta menandatangani surat akujanji supaya tidak mendedahkan kejadian berkenaan, dengan tindakan lanjut dikatakan boleh diambil sekiranya mereka ingkar.

Sehubungan itu, satu surat telah dihantar ke Balai Polis Jalan Champbell bagi menggesa siasatan yang lebih menyeluruh dijalankan terhadap kes tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan pihak polis menerima lima laporan daripada ibu bapa berhubung penyebaran gambar yang menggunakan wajah pelajar perempuan berkenaan antara 20 hingga 23 Ogos lalu.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]