Seorang lelaki berusia 39 tahun yang memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 25 Jalan Seremban-Kuala Pilah pada Khamis didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Pemandu Honda City Positif Methamphetamine, Rempuh Empat Kenderaan Di Jalan Seremban-Kuala Pilah

Kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu turut tular di media sosial menerusi rakaman yang memaparkan sebuah kereta Honda City dipandu secara melulu sebelum merempuh sebuah motosikal dan meneruskan perjalanan tanpa berhenti.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, siasatan awal mendapati kereta terbabit sedang bergerak dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban ketika insiden berlaku.

Menurutnya, selepas melanggar motosikal yang ditunggang seorang lelaki, pemandu Honda City itu meneruskan perjalanan sebelum merempuh tembok jambatan di sebelah kiri jalan ketika melalui satu selekoh.

Akibat pelanggaran tersebut, kereta berkenaan berpusing sebelum berhenti dalam keadaan melintang di atas jalan. Pada masa sama, sebuah Proton Exora, Honda CR-V dan motosikal Yamaha 135LC yang melalui laluan tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar Honda City berkenaan.

Alzafny berkata, pemandu Honda City mengalami kecederaan patah tangan kanan, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan. Pemandu dan penumpang kenderaan lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemeriksaan lanjut terhadap kereta Honda City itu turut menemukan satu paket plastik yang mengandungi serbuk putih lutsinar, dipercayai dadah jenis ketamin.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu terbabit mengesahkan lelaki itu positif methamphetamine.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]