Kerajaan mengumumkan potongan tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Deepavali, dengan peruntukan pampasan berjumlah RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian diskaun itu bermula pada jam 12 tengah malam Jumaat ini dan berakhir pada jam 11.59 malam Sabtu.

Pengguna Lebuh Raya Nikmati Diskaun Tol 50 Peratus Jumaat Dan Sabtu Ini

Inisiatif berkenaan melibatkan kenderaan persendirian Kelas Satu di semua plaza tol, manakala kenderaan Kelas Dua turut menikmati potongan harga di Jambatan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, diskaun tersebut tidak melibatkan Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK) di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), yang merupakan plaza tol di sempadan negara.

Menurut Nanta, pemberian diskaun itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, khususnya dalam membantu mengurangkan kos perjalanan sempena musim perayaan. Beliau berkata, langkah itu diharap dapat memudahkan masyarakat Hindu pulang ke kampung halaman atau menziarahi keluarga bagi menyambut Deepavali, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Dalam pada itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Pengguna juga diingatkan memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan, mematuhi had laju, menjaga jarak selamat antara kenderaan dan berehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu.

Selain itu, orang ramai digalakkan mendapatkan maklumat trafik terkini serta perkembangan insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi membantu mereka merancang perjalanan dengan lebih lancar.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]