Hasrat seorang graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk meraikan kejayaan bersama ibu bapanya bertukar menjadi tragedi apabila kedua-dua insan tersayang itu maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke majlis konvokesyennya.
![]()
“Sepatutnya Mak Ayah Tengok Saya Konvo, Tapi Saya Yang Hantar Mereka Ke Liang Lahad” – Husna
Husna Syakira Abd Halim, 23, yang bakal menerima Ijazah Sarjana Muda Logistik Perdagangan dan Pengedaran, berkata ibu bapanya sepatutnya menyaksikan beliau menerima ijazah pada istiadat yang dijadualkan berlangsung pada Selasa. Namun, sebaliknya beliau terpaksa menyaksikan kedua-dua mereka dikebumikan.
Lebih memilukan, Husna sempat berbual melalui panggilan video dengan abangnya, Muhammad Syazwan Hakimi, 28, kira-kira 20 minit sebelum kemalangan berlaku. Ketika itu, ibu bapanya sedang berehat di Hentian Rehat dan Rawat Banjaran Titiwangsa dan bertanya sama ada makanan untuk mereka sudah disediakan.
Husna berkata, panggilan sekitar jam 1.20 tengah hari itu menjadi perbualan terakhirnya dengan ibu bapanya. Dia masih mengingati wajah ibunya yang ceria ketika abang menghalakan telefon ke arahnya, sebelum mereka bergurau dan ketawa bersama.
![]()
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari Isnin, Abd Halim Bakar, 64, dan isterinya, Siti Sarah Abd Rahman, 58, maut selepas MPV yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas persiaran membawa 30 penumpang di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik-Jeli. Abang Husna pula mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Taiping.
Husna berkata, dia sedang membeli kasut untuk dipakai pada hari konvokesyen apabila menerima panggilan daripada kakaknya yang memaklumkan mengenai kemalangan itu.
Bapanya turut membawa kamera baharu untuk merakam detik Husna menerima ijazah, namun kamera itu rosak dan patah dalam kejadian tersebut. Ibunya pula sudah membelikan pakaian serta kasut baharu untuk menghadiri majlis berkenaan.
![]()
Jenazah pasangan itu selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid As Syakirin, Singkir Laut, kira-kira jam 6 petang Selasa. Sebelum itu, jenazah dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Gerik ke rumah keluarga di Kampung Singkir Laut sekitar jam 2 petang.
Sebagai bantuan kepada keluarga, UMK menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM2,000 kepada Husna. Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Mohd Badrul Hisyam Muhammad Alias, berkata bantuan itu telah diserahkan bagi membantu meringankan beban keluarga yang ditimpa tragedi berkenaan.
Kredit: Sinar Harian