Seorang pekerja pembersihan maut selepas digilis lori sampah yang dipandu rakan sekerjanya dalam kejadian di Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, kira-kira jam 11 pagi Selasa lalu.

Pekerja Pembersihan Maut Digilis Lori Sampah Dipandu Rakan Sekerja

Mangsa, Mohamad Zaidi Ibrahim, 45, dipercayai sedang menjalankan kerja kutipan sisa pepejal sebelum terjatuh dari lori yang dinaikinya. Kejadian berlaku sejurus lori berkenaan selesai mengutip sampah dari beberapa rumah berhampiran dan mula bergerak, menyebabkan mangsa digilis kenderaan tersebut.

Saksi kejadian, Azizan Ishak, 65, berkata dia baru pulang daripada beriadah apabila terdengar bunyi dentuman kuat. Dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian yang terletak beberapa rumah dari kediamannya.

Menurut Azizan, mangsa sudah terbaring di bawah lori ketika dia tiba. Dia cuba membantu, namun mendapati mangsa tersepit dan tidak dapat ditarik keluar. Azizan kemudian meminta bantuan seorang jiran lain sebelum mereka membimbing mangsa mengucap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.18 pagi sebelum menggerakkan lima anggota ke lokasi. Beliau berkata, mangsa ditemukan berada di bawah lori sampah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian.

Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja pembersihan di lokasi selepas mangsa dikeluarkan sebelum menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]