Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengadakan Majlis Pengisytiharan Taubat atau Istitabah melibatkan Aliff Daniel Adli pada hari ini (Khamis), susulan kesalahan berkaitan penyertaannya dalam ritual keagamaan yang bercanggah dengan hukum syarak.

JAIS Jemput Orang Ramai Ikuti Majlis Istitabah Aliff Daniel Secara Langsung

Majlis itu dijadual berlangsung di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, dari jam 2.30 petang hingga 4.30 petang. Orang ramai yang ingin mengikuti majlis berkenaan juga boleh menontonnya secara langsung menerusi laman Facebook rasmi JAIS.

Terdahulu, Aliff Daniel, 21, diperintahkan menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah di sebuah kuil di Batu Caves pada 24 Januari 2024.

Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada Rabu mengikut Seksyen 54(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Pemulihan akidah itu diberikan sebagai pilihan kepada hukuman denda atau penjara.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut mengingatkan Aliff Daniel supaya bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan kembali kepada ajaran Islam. Perbuatannya itu disifatkan sebagai kesalahan serius kerana boleh menjejaskan pegangan tauhid seseorang.

Mahkamah turut menetapkan 25 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan perkembangan serta laporan berkaitan proses pemulihan akidah yang dijalani tertuduh.

Kes berkenaan sebelum ini mendapat perhatian selepas beberapa keping gambar dan rakaman video yang didakwa menunjukkan Aliff Daniel menyertai ritual keagamaan bukan Islam tersebar di media sosial.

Susulan penularan bahan berkenaan, JAIS menjalankan siasatan sebelum menahan Aliff Daniel bersama ibunya di Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu. Penahanan itu dilakukan berdasarkan waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dengan bantuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]