Pemergian seorang pesara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Wan Hasamudin Wan Hassan, 64, bukan sahaja meninggalkan kesedihan buat keluarga, malah turut membawa harapan baharu kepada individu lain yang memerlukan bantuan pemindahan organ.

Petugas Hospital Putrajaya Beri Penghormatan Terakhir Kepada Wira Penderma Organ

Selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, keluarganya bersetuju untuk mendermakan buah pinggang dan kornea mata miliknya bagi membantu pesakit yang memerlukan. Keputusan itu menjadi satu sumbangan besar meskipun mereka sedang melalui saat sukar kehilangan insan tersayang.

Sebagai penghargaan atas keikhlasan keluarga dan sumbangan Allahyarham, warga Hospital Putrajaya mengadakan upacara Walk of Honour sebagai penghormatan terakhir sebelum proses perolehan organ dilakukan.

Menerusi satu kenyataan, pihak hospital merakamkan penghargaan kepada keluarga Allahyarham kerana membuat keputusan yang disifatkan sebagai satu tindakan penuh kemanusiaan. Pengorbanan tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada penerima untuk mendapatkan organ yang diperlukan, malah membolehkan jasa Allahyarham terus dikenang.

Hospital Putrajaya turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan yang membawa harapan kepada insan lain menerusi sumbangan organ berkenaan.

“Sesungguhnya pemergianmu menghidupkan harapan insan lain,” menurut kenyataan itu.

Pihak hospital turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Allahyarham dan keluarganya atas sumbangan tersebut, sambil menyifatkannya sebagai satu pengorbanan yang akan terus memberi makna kepada kehidupan penerima organ.

“Terima kasih, wira kami,” menurut kenyataan Hospital Putrajaya.

Kredit: Thread hospitalputrajaya, TikTok misiku.cahaya

[fbcomments]