Seorang lelaki warga Afrika yang ditembak mati selepas menyerang seorang anggota polis menggunakan parang di Desa Aman Puri, Kepong pada 11 November lalu didakwa mempunyai masalah kesihatan, selain merupakan anak yatim piatu yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya.
![]()
Lelaki Afrika Ditembak Mati Selepas Serang Polis Didakwa Alami Masalah Kesihatan, Rakan Dedah Status Anak Yatim Piatu
Perkara itu didedahkan oleh rakannya, Chibuzo Williams menerusi satu hantaran di Facebook yang turut menyentuh latar belakang lelaki berkenaan. Menurut Chibuzo, rakannya itu dikatakan mempunyai masalah kesihatan yang turut diketahui pihak polis, malah sebelum kejadian tersebut dia disifatkan sebagai individu yang tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.
Dalam perkongsian sama, Chibuzo turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia bagi pihak warga Afrika susulan insiden berkenaan. Dia mengakui memahami kemarahan dan kekecewaan masyarakat terhadap tindakan rakannya itu serta meluahkan rasa kesal atas apa yang berlaku.
![]()
Bagaimanapun, Chibuzo menegaskan bahawa pendedahan mengenai keadaan dan latar belakang rakannya itu bukan bertujuan untuk mempertahankan perbuatan jenayah berkenaan atau mengetepikan penderitaan anggota polis yang menjadi mangsa.aliknya, dia hanya berharap orang ramai dapat memberikan sedikit ruang untuk memahami keadaan lelaki terbabit serta menunjukkan belas ihsan tanpa menafikan keseriusan kejadian tersebut.
Namun, permohonan maaf dan pendedahan berkenaan menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial. Ada dalam kalangan warga maya yang meluahkan rasa tidak puas hati serta mengecam perkongsian tersebut susulan tindakan suspek yang menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan parah.
![]()
Terdahulu, kejadian serangan itu berlaku ketika seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan Desa Aman Puri.
Suspek dilaporkan bertindak agresif sebelum menyerang anggota berkenaan menggunakan parang sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya terputus. Susulan keadaan yang mengancam keselamatan, pihak polis melepaskan tembakan dan suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
![]()
Mangsa yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Bagaimanapun, usaha pasukan pakar perubatan di HKL berjaya apabila pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanan mangsa yang terputus itu dapat dilakukan.
Kredit: Facebook Chizubo Williams