Kerajaan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kemalangan jalan raya yang dialaminya baru-baru ini.

Kerajaan Tanggung Kos Rawatan Hafizuddin, Layak Terima Insurans RM120,000 Dan Pampasan PERKESO

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, bantuan berkenaan merangkumi semua perbelanjaan perubatan, rawatan susulan serta kos penginapan di wad sehingga atlet berusia 22 tahun itu dibenarkan pulang. Beliau turut mengesahkan elaun latihan Hafizuddin akan terus dibayar mengikut kadar kelayakan sedia ada bagi memastikan sumber pendapatannya tidak terjejas sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.

Selain menanggung kos perubatan, pihak kementerian menerusi MSN turut mengenal pasti beberapa bentuk bantuan kewangan dan perlindungan yang boleh dimanfaatkan atlet berkenaan. Semakan melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) mendapati Hafizuddin layak menerima manfaat insurans yang dianggarkan bernilai RM120,000.

Pada masa sama, beliau turut memenuhi syarat untuk mendapatkan faedah menerusi Skim Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Antara manfaat yang bakal diterima termasuk Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebanyak RM50.40 sehari sepanjang tempoh cuti sakit, selain Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) berjumlah RM915.84 sebulan sepanjang hayat. Hafizuddin juga layak menerima bayaran pampasan secara sekali gus sebanyak RM39,060.58, selain kemudahan perubatan serta program pemulihan jasmani dan vokasional yang disediakan PERKESO.

Dalam perkembangan sama, Mohammed Taufiq yang meluangkan masa menziarahi Hafizuddin di HKL memaklumkan atlet itu berada dalam keadaan baik dan masih menunjukkan semangat yang tinggi ketika berdepan ujian berkenaan. Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada ibu bapa serta ahli keluarga Hafizuddin sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap keadaan mereka.

Bagi membantu mengurangkan beban keluarga yang perlu berada di Kuala Lumpur sepanjang tempoh rawatan, MSN turut menyediakan kemudahan penginapan serta makanan di Casa MSN atau lokasi lain yang bersesuaian. Menurutnya, MSN juga akan melihat keperluan bantuan jangka panjang untuk Hafizuddin, termasuk dari segi pemulihan fizikal, sokongan kaunseling serta peluang masa depan selepas melalui tempoh sukar itu.

Beliau dalam masa sama berharap orang ramai dapat menghormati privasi atlet berkenaan dan keluarganya agar mereka mempunyai ruang untuk memberikan tumpuan kepada proses rawatan serta pemulihan.

Terdahulu, Hafizuddin atau lebih mesra dikenali sebagai Udin dilaporkan terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil kira-kira jam 11 malam, Isnin lalu. Akibat kecederaan serius yang dialami, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat sebelum ini memaklumkan bahawa keputusan untuk memotong tangan atlet berkenaan dibuat atas nasihat doktor bagi menyelamatkan nyawanya.

Untuk rekod, Hafizuddin pernah mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas dalam kategori 88 kilogram (kg) pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan 345kg. Beliau turut mencatat rekod kebangsaan bagi acara snatch menerusi angkatan seberat 162kg.

Kredit: Facebook Taufiq Johari

 

[fbcomments]