Seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar ditemukan meninggal dunia di kawasan bangunan sekolah berkenaan sekitar jam 6 petang semalam, sekali gus mengundang kesedihan kepada keluarga mangsa.

Susulan kejadian itu, bapa mangsa, Mohd Idzwan Razali, 48, berharap siasatan telus dan menyeluruh dapat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya.

Bapa Pelajar Maut di SBP Kuala Kangsar Harap Siasatan Telus Dijalankan

Beliau berkata, keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menentukan apa yang sebenarnya berlaku tanpa membuat sebarang andaian sebelum siasatan dan proses bedah siasat selesai. Mohd Idzwan berkata, beliau dimaklumkan mengenai pemergian anaknya oleh pihak polis dan pengetua sekolah kira-kira jam 4 petang semalam.

Menurutnya, anak ketiga daripada lima beradik itu sudah bersekolah di institusi berkenaan sejak Tingkatan Satu dan dijadualkan meneruskan pengajian di situ sehingga Tingkatan Lima.

Mengulas mengenai kehidupan anaknya sepanjang berada di sekolah, beliau berkata tiada sebarang perkara luar biasa berlaku, malah kehidupan anaknya di asrama berjalan seperti pelajar lain. Katanya, anaknya baru sahaja pulang ke rumah ketika cuti Deepavali baru-baru ini sebelum kembali semula ke asrama.

Malah, komunikasi terakhir mereka berlaku menerusi aplikasi Telegram apabila anaknya menghantar mesej bertanyakan perkara biasa, termasuk sama ada beliau sudah makan. Mohd Idzwan turut memaklumkan bahawa pihak sekolah sudah memberikan penjelasan kepada keluarga mengenai keadaan yang membawa kepada kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak membuat sebarang kesimpulan sehingga hasil siasatan dan bedah siasat diperoleh.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan pihaknya sedang memantau kejadian itu dan meminta pihak sekolah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi membantu siasatan.

Menerusi kenyataan rasmi, JPN Perak memaklumkan pihaknya turut menyelaraskan bantuan bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial kepada murid, guru dan warga sekolah yang terkesan dengan insiden berkenaan. Langkah itu diambil bagi memastikan kebajikan serta keadaan emosi warga sekolah yang terlibat terus diberikan perhatian sewajarnya.

Jabatan itu turut memberi jaminan bahawa urusan komunikasi dengan keluarga mangsa akan dilaksanakan secara berhemah dan penuh keprihatinan, selain memastikan bantuan bersesuaian disalurkan mengikut keperluan.

Pada masa sama, orang ramai diminta menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi di media sosial bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan.

JPN Perak turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas pemergian pelajar berkenaan.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan selepas proses bedah siasat selesai.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]