Kejayaan seorang lelaki berusia 60 tahun menamatkan cabaran IRONMAN 70.3 Langkawi 2026 dengan hanya menggunakan kelengkapan sukan asas mendapat perhatian kerajaan negeri Pahang yang kini berhasrat menghulurkan bantuan kepadanya.

Terharu Lihat Semangat Pakcik Ariffin, Kerajaan Pahang Sedia Bantu Lengkapan Sukan

Lelaki berkenaan, Ariffin Abdul Manan atau lebih dikenali sebagai Pakcik Ariffin, berasal dari Jerantut dan berjaya membuktikan kemampuan dirinya apabila menamatkan pertandingan berkenaan meskipun tidak memiliki kelengkapan sukan yang lengkap seperti peserta lain.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan negeri bersedia menyediakan bantuan kelengkapan sukan kepada Ariffin bagi menyokong penglibatannya dalam aktiviti berkenaan.

Menurutnya, hasrat itu mendapat persetujuan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas kisah penyertaan Ariffin dalam kejohanan tersebut menjadi perhatian ramai. Katanya, kerajaan negeri tidak mahu beliau berdepan cabaran berkenaan seorang diri, malah berharap semangat dan pencapaiannya dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk terus aktif dalam bidang sukan.

Fadzli turut menyifatkan kejayaan Ariffin sebagai sesuatu yang membanggakan apabila lelaki itu mampu menamatkan pertandingan yang mencabar meskipun hanya menggunakan kelengkapan asas.

Untuk rekod, Ariffin menamatkan cabaran tersebut dengan catatan masa tujuh jam 19 minit 57 saat sekali gus menduduki tempat kesembilan daripada 14 peserta bagi kategori lelaki berusia 60 hingga 64 tahun.

Pertandingan IRONMAN 70.3 itu merangkumi tiga disiplin sukan iaitu renang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal sejauh 90km dan larian sejauh 21.1km, menjadikan keseluruhan jarak yang perlu ditempuh peserta sebanyak 113km.

Menariknya, minat Ariffin terhadap aktiviti larian bermula kira-kira 20 tahun lalu apabila dia mula menjadikan sukan tersebut sebagai rutin harian dalam usahanya untuk berhenti merokok.

Kredit: Buletin TV3

[fbcomments]