Biarpun bukan beragama Islam, seorang pelajar tingkatan lima dari SMK Danau Kota, Setapak mengambil Tassawur Islam sebagai subjek elektif untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Januari depan.
Konsisten dapat keputusan cemerlang
Menariknya, M Dharshini yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu konsisten mendapat keputusan cemerlang iaitu gred A+ dan A- setiap kali menduduki ujian bagi subjek berkenaan.
Menurutnya, dia mengambil subjek berkenaan sejak tahun lalu dan menjadi satu-satunya calon bukan Muslim di sekolahnya bakal menduduki Tasawwur Islam untuk SPM 2020.

Ingin sambung belajar di UIA
Selain menambah pengetahuan, Dharshini berkata, alasan lain dia mengambil subjek itu adalah kerana mahu memenuhi hasrat ibunya yang mahu dia menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPTA) tidak jauh daripada rumah mereka di Taman Air Panas.
Saya bercadang menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan kebetulan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang paling hampir dengan rumah.
Memandangkan saya bercadang memohon menyambung pengajian di situ, saya pilih Tasawwur Islam sebagai subjek elektif dengan harapan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
Hanya belajar sendiri sahaja
Menurutnya, tiada kelas diadakan untuk pelajar yang mengambil Tasawwur Islam sebagai subjek elektif kerana pertembungan jadual harian.
Saya tiada pilihan kecuali belajar sendiri dengan merujuk pada modul diberi pihak sekolah.
Kebiasaannya, saya akan memberi lebih tumpuan untuk menelaah modul itu sehari sebelum ujian atau peperiksaan akhir tahun.
Pada awalnya, agak sukar untuk memahami, mengingati dan membezakan misalnya antara nabi dan rasul tetapi kini saya sudah mengerti.
Jelasnya lagi biarpun tiada guru untuk bertanya, modul diberi sebagai panduan itu sudah lengkap jadi tiada masalah untuk dirinya menelaah walaupun pada saat akhir. Malah dia juga dapat mengekalkan gred A dalam setiap ujian dan peperiksaan dengan markah keseluruhan paling tinggi adalah 90.
Pernah ikut kelas Jawi

Dharshini berkata, sebelum mengambil subjek Tasawwur Islam, dia pernah mengikuti kelas jawi ketika di tingkatan satu dan dua bersama rakan sekelas lain di surau.
Namun, hanya setakat itu saja kerana kelas berkenaan tidak diteruskan di tingkatan tiga. Saya juga tidak mahir membaca atau menulis jawi tetapi mengenali hurufnya.
Ibu tidak pernah menghalang sebaliknya memberi sokongan kerana tahu saya hanya mahu menuntut ilmu, tidak lebih daripada itu.
Kisahnya mendapat perhatian
Kisah Dharshini ini telah mendapat perhatian masyarakat. Bukan sahaja di media sosial, malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri pun turut tertarik dengan kejayaan adik ini.
Sehubungan dengan itu, Menteri Agama ini telah berkesempatan dengan hadir ke SMK Danau Kota untuk bertemu dengan Darshini bagi mengucapkan tahniah diatas kejayaannya.