Aaron Aziz melalui pertubuhan kebajikan yang diasaskan, Journey To Insyirah berjaya menyumbang hampir RM50,000 kepada 1,000 individu dan keluarga yang memerlukan sepanjang PKP dilaksanakan.
Memetik laporan Harian Metro, sumbangan tersebut diberikan membabitkan beberapa kawasan di Pahang, Melaka, Johor, Perlis, Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, sejak pertubuhan ini beroperasi dua tahun lalu, banyak dana masuk daripada orang perseorangan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“Jadi, apabila wabak COVID-19 melanda negara dan PKP dilaksanakan, semakin ramai yang menghantar mesej termasuk kepada isteri saya bagi meminta bantuan. Jadi, dengan sumbangan yang ada kami perlu salurkan.
“Itu semua adalah amanah daripada penyumbang dana. Saya perlu tunaikan. Sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang memerlukan pada masa sekarang,” katanya kepada Harian Metro.
Walau bagaimanapun, menurut beliau ketika ini sumbangan lebih kearah susu dan lampin pakai buang

“Sebelum ini, banyak sumbangan diberikan berupa barangan keperluan harian. Sekarang, ramai pula minta susu dan lampin pakai buang.
“Selepas ini nak fokus kepada pembelian ubat-ubatan pula. Sebab, ada juga yang mesej memerlukan perkara itu,” jelasnya lagi.