Sejak hari pertama pemergian Abam Bocey sehingga ke hari ini, orang tidak henti-henti bercerita tentang kebaikan arwah sepanjang hayatnya.
Ada sahaja berita mengenai kebaikan dan amalan yang arwah lakukan tanpa kita sedari selama ini. Segala kebaikan yang dilakukan tidak sekali pun dia dedahkan kepada orang, benarlah arwah bukan seorang yang suka menuinjuk atau mencari publisiti semata diatas segala kebaikan yang dilakukan.
Kali ini pula, cerita mengenai arwah yang telah membantu seorang stokis peralatan sauna, Hamidah Husin mempromosikan jualannya tanpa dikenakan sebarang bayaran pun seperti kebiasaan artis-artis lain lakukan.
Niat nak bantu dari segi kesihatan
Menurut Hamidah, niat dia sebenarnya nak bantu dari segi kesihatan. Dia juga tiada pengalaman berurusan dengan artis dan hanya mencuba nasib dengan DM kepada Abam di Instagram.
“Saya nak bagi untuk kesihatan dia tanpa minta dia membuat ulasan. Lagipun produk itu boleh digunakan untuk ibunya juga kerana kebetulan ibunya tidak sihat.”

Tidak sombong walau popular
“Saya amat terkejut apabila dia menjawab mesej saya dengan santai tanpa menunjukkan sikap sombong walaupun dia sangat popular.”
Menurut Hamidah, selepas berbincang, dia menghantar sendiri peralatan itu kepada Abam di rumahnya di Gombak.
“Memandangkan rumah Abam jauh ke dalam, dia jemput saya di tepi jalan besar dan saya berasa amat terharu.”
Malah Abam terus membukanya dan meminta pembantu peribadinya merakam video tanpa disuruh pun sebenarnya.
Beratus ribu produk terjual
“Kerana dia, rezeki saya melimpah ruah. Bayangkan beratus ribu produk ini dapat dijual. Ejen semua beroleh pendapatan lima angka sebulan.”
“Jualan untuk sehari penuh satu lori. Ia sesuatu yang amat mengejutkan dan menakjubkan bagi kami.”

“Saya tak lupa menghubunginya bagi mengucapkan terima kasih. Jawapan ringkas daripadanya ialah ini rezeki bersama daripada Allah,” katanya.
Tidak menerima bayaran
Apa yang membuat Hamidah terkejut ialah, pelawak dan pelakon popular itu menolak bayaran yang ingin diberikan atas promosi yang telah dilakukan.
“Dia menolak dan nasihatkan saya supaya gunakan bahagian yang sepatutnya diberikan kepadanya anak yatim. Hati saya memang tersentuh dengan nasihatnya. Sekarang dia sudah tiada tapi saya akan ingat pesanannya supaya sentiasa bersedekah ke rumah anak yatim supaya murah rezeki.”