Menjelang Aidilfitri, antara perkara yang paling dinanti-nantikan selain membeli baju raya dan kuih-muih tentunya suasana dekorasi perayaan di pusat beli-belah. Setiap tahun, pelbagai pusat beli-belah tampil dengan konsep yang kreatif dan unik bagi memeriahkan sambutan serta memberi pengalaman bergambar yang menarik kepada pengunjung.

Untuk tahun 2026, beberapa pusat beli-belah terkenal tampil dengan tema yang cukup berbeza, dimana ada yang ceria dengan karakter animasi, ada juga yang membawa kita kembali ke suasana nostalgia dan tradisi tempatan. Berikut antara dekorasi Raya yang mencuri perhatian tahun ini.

1. Pavilion Bukit Jalil – “Joyful Aidilfitri Bersama Hero Animasi”

Kalau datang bersama anak-anak, dekorasi di Pavilion Bukit Jalil memang antara yang paling menyeronokkan untuk dikunjungi.

Tahun ini mereka membawakan tema “Joyful Aidilfitri Bersama Hero Animasi”, yang menampilkan kolaborasi bersama watak animasi popular bagi mewujudkan suasana Raya yang ceria dan mesra keluarga.

Antara karakter yang menjadi tarikan utama termasuk:

  • BoBoiBoy, yang menjadi fokus utama dekorasi di centre court
  • Papa Pipi (Papa Zola & Pipi Zola), pasangan bapa dan anak yang menambah elemen humor dan keceriaan

Gabungan karakter animasi ini menjadikan suasana lebih meriah, terutamanya untuk keluarga yang datang bersama kanak-kanak.

2. AEON MALL Bukit Tinggi – “Cerita Raya” Penuh Nostalgia dan Kebanggaan Malaysia

Bagi yang gemarkan suasana Raya yang lebih dekat dengan tradisi dan nilai budaya tempatan, AEON MALL Bukit Tinggi membawakan tema “Cerita Raya” untuk dekorasi Aidilfitri 2026 yang berlangsung daripada 23 Febuari hingga 29 Mac 2026.

Tema ini memfokuskan kepada penceritaan nostalgia dan tradisi tempatan melalui elemen visual yang ikonik, seolah-olah membawa pengunjung kembali mengimbau memori lama sambutan Raya bersama keluarga.

 

Konsep dekorasi tahun ini mengetengahkan suasana balik kampung yang cukup dekat di hati rakyat Malaysia. Di ruang legar utama, pengunjung akan disambut dengan pelbagai elemen tradisional yang membangkitkan kenangan lama, antaranya:

  • Struktur kayu tradisional yang mencerminkan seni bina kampung Melayu
  • Replika bunga kebangsaan yang menambahkan lagi suasana Raya yang hangat dan meriah.

Melalui konsep “Cerita Raya”, AEON juga ingin menggambarkan bagaimana pusat beli-belah ini menjadi sebahagian daripada kisah persiapan Raya setiap keluarga. Daripada saat membeli keperluan perayaan sehinggalah kepada detik berkumpul bersama orang tersayang dan mencipta kenangan indah.

Menariknya lagi, dekorasi Raya tahun ini turut diperkaya melalui kolaborasi bersama Tourism Malaysia bersempena Visit Malaysia Year 2026. Kehadiran dua maskot rasmi iaitu Manja dan Wira memberikan sentuhan yang unik kepada keseluruhan dekorasi, sambil menonjolkan rasa kebanggaan terhadap identiti dan budaya Malaysia.

Gabungan elemen nostalgia, tradisi dan semangat kebersamaan ini menjadikan konsep “Cerita Raya”bukan sekadar dekorasi semata-mata, tetapi satu pengalaman yang meraikan kepelbagaian budaya Malaysia, semangat kekeluargaan dan kegembiraan Aidilfitri yang begitu istimewa.

3. IOI Mall Puchong – Keindahan Batik Warisan

Di IOI Mall Puchong, dekorasi Raya tahun ini mengetengahkan tema Batik Warisan dan Tradisional yang mempamerkan keindahan seni tekstil tempatan.

Terletak di Ground Floor, South Court, ruang dekorasi dihiasi dengan motif batik yang rumit, corak tradisional yang elegan serta warna-warna perayaan yang terang dan meriah.

Gabungan elemen seni ini memberikan suasana Aidilfitri yang segar dan moden, sambil masih mengekalkan identiti budaya tempatan.

Pengunjung juga boleh bergambar dengan dekorasi batik eksklusif yang menjadikan sudut ini kelihatan sangat artistik.

4. MyTOWN – “Kaleido-Raya” Penuh Warna dan Cerita

MyTOWN Shopping Centre pula tampil dengan tema “Kaleido-Raya”, yang berlangsung dari 26 Februari hingga 29 Mac 2026.

Tema ini diinspirasikan daripada konsep kaleidoskop warna, budaya dan hubungan, menggambarkan bagaimana detik-detik kecil dalam persiapan Raya sebenarnya membentuk kenangan yang paling bermakna.

Dekorasinya tampil dengan warna-warna yang ceria dan meriah, menjadikan suasana keseluruhan sangat hidup dan penuh energi.

5. The Curve – “Alunan Syawal di Kampung Pesisir”

Berbeza dengan konsep kampung darat biasa, The Curve memilih tema “Alunan Syawal di Kampung Pesisir” untuk dekorasi Raya 2026.

Konsep ini membawa pengunjung ke suasana kampung air atau pesisir pantai, lengkap dengan elemen visual yang tenang dan santai.

Dekorasi ini memberikan pengalaman yang agak unik kerana ia menampilkan suasana kampung terapung yang damai, seolah-olah berada di kawasan perkampungan tepi laut.

Selain menjadi tempat berjalan-jalan, kawasan dekorasi ini juga sangat sesuai dijadikan latar belakang gambar Raya dengan tema yang lebih santai dan natural.

Setiap pusat beli-belah mempunyai cara tersendiri untuk meraikan Aidilfitri tahun ini. Apa pun tema yang dipilih, dekorasi-dekorasi ini bukan sahaja memeriahkan suasana membeli-belah, malah turut memberi peluang kepada pengunjung untuk mencipta kenangan indah bersama keluarga dan rakan-rakan sepanjang musim perayaan.

Kalau anda merancang untuk berjalan-jalan menjelang Raya, mungkin boleh masukkan beberapa lokasi ini dalam senarai destinasi yang wajib dikunjungi. Siapa tahu, mungkin juga boleh jumpa spot OOTD Raya yang paling cantik tahun ini.

 

[fbcomments]