fbpx

Walaupun berlainan bangsa, seorang lelaki berketurunan Tionghoa yang bernama Michael Tong Wai Siong, 55, sanggup menjaga tiga orang kanak-kanak Melayu yatim piatu lebih 16 tahun lalu di sebuah rumah anak yatim dan mengambil mereka sebagai anak angkat.

Lelaki Cina Sudah Membesarkan 3 Anak Angkat Melayu Selama 16 Tahun

Berdasarkan laporan dari Harian Metro, Michael atau lebih mesra dipanggil sebagai Uncle Mike telah menjaga tiga beradik iaitu Rafei Ahmad Fauzi, Rasyid dan Abdul Rahman sejak lebih 16 tahun lalu.

Difahamkan Uncle Mike pada mulanya hanya mahu menjaga si abang yang bernama Rafei setelah berjumpa dengannya yang sebelum itu tinggal di sebuah rumah anak yatim. Namun Rafei meluahkan rasa rindu terhadap adik beradiknya yang lain setelah dipisahkan.

“Sehingga kini saya masih ingat nota ditulisnya yang bertanya mengapa mak ayah meninggal dunia awal dan kenapa dia dipisahkan dengan adik-beradik. Nota itu membuatkan saya sebak dan kemudian bawa dia berjumpa dua adiknya.

“Tidak lama selepas itu, saya bawa Rasyid tinggal bersama dan kemudian turut membawa Abdul Rahman bersama kami. Sejak itu saya menjadi ‘bapa’ dan ‘ibu’ kepada mereka dan hingga kini kami masih bersama,” ceritanya.

Walaupun Berbeza Agama, Namun Keluarga Beri Sokongan Untuk Besarkan 3 Anak Angkat Walaupun Tidak Berkahwin

Michael turut menambah bahawa beliau nekad untuk menjaga tiga anak angkatnya itu kerana pernah berada dalam tempoh kesukaran hidup dan mahu mereka mendapat kehidupan lebih baik termasuk dalam aspek akademik dan agama.

“Pada mulanya memang takut juga kerana tiada pengalaman, sebab itu saya ambil seorang saja dahulu tetapi ramai rakan memberi sokongan dan membantu. Keluarga saya juga tidak membantah, malah mereka terutama ibu (Oh Siew Eng, 86) melayan mereka seperti keluarga dan cucu sendiri.

“Saya tahu kami berbeza agama tetapi saya mahu mereka meneruskan pendidikan agama biarpun tinggal bersama, jadi saya minta seorang ustaz mengajar mereka mengaji di rumah setiap malam. Saya juga akan masak lauk sahur dan buka puasa untuk mereka, malah kami berpuasa bersama sepanjang Ramadan.

“Saya buat begitu sejak mereka kecil untuk beri sokongan kepada mereka agar berpuasa penuh. Di rumah juga, saya jaga sensitiviti agama Islam terutama makanan dan minuman,” katanya lagi.

Anak Angkat Tak Panggil Ayah Kerana Mahu kekal Panggil Uncle Mike

Malah bagi Michael, menjadi bapa dan ibu kepada tiga anak lelaki sangat mencabar apatah lagi ketika ketiga-tiga mereka sedang meningkat dewasa dengan pelbagai karenah namun semua itu meninggalkan memori manis untuknya.

“Ketiga-tiga anak mempunyai kenakalan masing-masing tetapi mereka tetap anak yang baik. Mereka tidak panggil saya ayah kerana saya sendiri yang mahu mereka kekal panggil Uncle Mike kerana bagi saya, panggilan itu tidak penting, yang penting saya ikhlas menjaga mereka seperti anak sendiri.

“Saya masih ingat ketika mereka kecil, saya akan bangun seawal jam 5 pagi untuk siapkan sarapan. Teguran, bebelan dan marah itu biasa kerana saya sayang dan mahu mereka menjadi orang berguna,” ujarnya.

Meskipun Michael tidak berkahwin lagi, namun hidupnya tetap bahagia dan tidak rasa sunyi kerana kini dia sudah mempunyai dua orang cucu iaitu anak kepada Rafei.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]