Pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak membolehkan ahli keluarga atau individu lain tinggal bersamanya sepanjang tempoh beliau menjalani baki hukuman penjara.
Perkara itu dijelaskan oleh EXCO Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, ketika menjawab pertanyaan pengguna media sosial mengenai aturan kediaman Najib di Taman Duta.
![]()
Rumah Najib Di Taman Duta Diwartakan Sebagai Penjara, Ahli Keluarga Tak Boleh Menetap Bersama
Menurut Nurulhidayah, kediaman berkenaan telah diwartakan sebagai penjara dan tertakluk kepada peraturan serta pemantauan ketat pihak berkuasa. Justeru, ahli keluarga Najib tidak dibenarkan menetap bersama beliau sepanjang tempoh tahanan di rumah itu.
Malah, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, dipercayai akan terus tinggal di kediamannya di Pavilion dan tidak akan menetap bersama suaminya di Taman Duta. Nurulhidayah turut menjelaskan bahawa pembelian makanan secara dalam talian juga tidak dibenarkan.
![]()
Beliau berkata, urusan lawatan serta penyediaan makanan dan minuman untuk Najib akan ditentukan sepenuhnya oleh Jabatan Penjara mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Penjelasan itu diberikan susulan pertanyaan orang ramai mengenai kemudahan dan peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang bekas pemimpin negara itu menjalani baki hukuman menerusi kaedah tahanan di rumah.
![]()
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin, membatalkan Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda bertarikh 6 November lalu sebelum menggantikannya dengan perintah memindahkan Najib dari Penjara Kajang ke kediamannya di Taman Duta berkuat kuasa serta-merta. Keputusan itu dibuat berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sehingga 23 Ogos 2028 berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Kredit: Thread nurul.zahid