ASEAN Records Sdn Bhd tampil mempertahankan kedudukan mereka sebagai organisasi sah dan berdaftar selepas berdepan pelbagai dakwaan yang tular sejak awal Mei 2026. Syarikat yang berfungsi sebagai platform pensijilan rekod serantau itu menegaskan mereka mempunyai kelulusan rasmi daripada Sekretariat ASEAN serta Kerajaan Malaysia untuk menggunakan nama “ASEAN” dalam operasi syarikat.

ASEAN Records Nafi Dakwaan Tidak Sah Guna Nama ASEAN, Sedia Ambil Tindakan Undang-undang

Menurut ASEAN Records, syarikat itu menerima kebenaran rasmi daripada Sekretariat ASEAN menerusi surat rujukan CCAD/LSAD/UNA/2023/Vol.1/014 bertarikh 1 Disember 2023 yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Hal Ehwal Komuniti dan Korporat, His Excellency Tran Duc Binh.

Selain itu, syarikat berkenaan turut memperoleh kelulusan kementerian di bawah Seksyen 27(3) Akta Syarikat 2016 bagi penggunaan perkataan “ASEAN” dalam nama korporat mereka menerusi rujukan P/S/2023/A/004396 bertarikh 14 November 2023.

Pengarah Urusan dan Ketua Adjudikator ASEAN Records, Gillian Ooi berkata, semua tuduhan yang dilemparkan terhadap syarikat itu adalah tidak benar dan tidak berasas. Katanya, pihak syarikat memiliki dokumen lengkap bagi membuktikan operasi mereka dijalankan secara sah serta menafikan segala dakwaan yang tersebar kebelakangan ini.

Isu berkenaan tercetus selepas sebuah pihak yang menggunakan nama “Persatuan Pengguna Semenanjung Malaysia” (PPSM) membuat kenyataan awam berhubung status ASEAN Records. Susulan itu, ASEAN Records melakukan semakan rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS). Menerusi surat rasmi bertarikh 13 Mei 2026 dengan rujukan JPPM.WKL.600.2/1/1 JLD.13 (18), RoS mengesahkan bahawa PPSM tidak berdaftar sebagai pertubuhan di Malaysia.

ASEAN Records turut mendakwa halaman Facebook yang menggunakan nama PPSM dipercayai baru diwujudkan sekitar Mei 2026 dan dikategorikan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), walaupun tiada rekod pendaftaran rasmi dengan pihak berkuasa. Syarikat itu berpandangan keadaan tersebut menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti pihak berkenaan untuk mewakili pengguna atau menerima aduan daripada syarikat lain.

Dalam masa sama, ASEAN Records turut menyangkal penyebaran sepucuk surat bertarikh 27 Mac 2026 dengan rujukan APSC/PSD/PRM/2026/98 yang didakwa dikeluarkan oleh Setiausaha Agung ASEAN, H.E. Dr. Kao Kim Hourn kepada PPSM. Menurut syarikat itu, semakan lanjut bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Sekretariat ASEAN di Jakarta pada 14 Mei 2026 mengesahkan surat tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh pihak ASEAN.

ASEAN Records memaklumkan Sekretariat ASEAN secara bertulis turut mengesahkan bahawa tiada sebarang surat atau komunikasi rasmi dihantar kepada PPSM atau mana-mana pihak lain berkaitan ASEAN Records. Malah, surat yang tular itu disahkan sebagai palsu dan bukan dokumen rasmi daripada ASEAN Secretariat.

Mengulas perkara itu, Gillian berkata penyebaran maklumat yang tidak disahkan telah memberi kesan besar terhadap reputasi syarikat mereka. Beliau memaklumkan ASEAN Records akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi melindungi kepentingan syarikat, pemegang rekod serta penggunaan nama ASEAN yang telah diluluskan secara rasmi.

Susulan kontroversi tersebut, dua laporan polis telah dibuat oleh pengarah syarikat masing-masing di Balai Polis Kepong pada 11 Mei dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 15 Mei lalu. Kes kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa.

ASEAN Records turut menyeru orang ramai serta pemilik jenama supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sebelum membuat sebarang kesimpulan. Mereka juga berharap mana-mana pihak yang telah menyebarkan maklumat tidak tepat dapat memperbetulkan semula kandungan tersebut selepas wujud pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan.

Dalam kenyataan sama, ASEAN Records menjelaskan mereka beroperasi sebagai platform pensijilan rekod serantau bebas dan bukannya agensi atau wakil rasmi kepada Sekretariat ASEAN. Menurut syarikat itu, pendirian tersebut telah dinyatakan secara konsisten dalam semua bahan promosi, majlis serta komunikasi rasmi sejak penubuhan mereka.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Co-Chief Adjudicator ASEAN Records, Eldrick Koh menegaskan semua rekod yang dikeluarkan syarikat itu masih sah dan pencapaian para penerima pengiktirafan tetap diiktiraf. Beliau berkata pihak syarikat akan terus mempertahankan kebenaran melalui saluran undang-undang yang betul.

Sejak dilancarkan pada 14 November 2024, ASEAN Records dilaporkan telah mengeluarkan lebih 250 pensijilan rekod peringkat ASEAN termasuk kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka. Syarikat itu juga telah menganjurkan sembilan acara Gather of Achievers yang menghimpunkan lebih 1,500 peserta secara keseluruhan, selain beberapa sesi pengiktirafan disaksikan oleh pemimpin kanan kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri, menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan lain.

[fbcomments]